Volkswagen Golf GTE dan Golf eHybrid 2024, (GTE 272 ps, Golf GTI 265 ps!)

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Golf GTE 2024
Volkswagen Golf GTE 2024
Pada Januari 2024 Volkswagen memperkenalkan Golf generasi kelapan yang dipertingkatkan (Mk8.5).

Mata (lampu) lebih nipis, bampar depan baharu dan perubahan pada bahagian dalam. 

Buat peminat varian berprestasi, Golf GTI kini lebih berkuasa dengan tambahan 20 ps kepada 265 ps dan daya kilas 370Nm. Rim juga cantik.

Bagaimana pula dengan pelanggan yang mahukan sesuatu berbeza dan lebih cekap bahan api?
Volkswagen Golf GTE 2024

 

VW menawarkan Golf GTE dan Golf eHybrid dengan teknologi hibrid plug-in generasi kedua yang baru dibangunkan.

Untuk perhatian pembaca, Golf GTE memiliki kuasa 272 ps (200 kW) atau lebih tinggi daripada Golf GTI!

Selain kuasa, jarak pemanduan mod elektrik ditingkatkan kepada 131 kilometer (km).

Golf eHybrid pula direka untuk keselesaan dan boleh dipandu sehingga 143 km. 

 

Volkswagen Golf eHybrid 2024

 

Dari segi rekaan, kedua-duanya dibezakan pada bampar depan (GTE mirip GTI), rim 17 inci Richmond untuk GTE dan rim Nottingham pada eHybrid.

Kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear enam kelajuan tukaran terus (direct shift) yang direka khas untuk sistem pacuan hibrid plug-in.

Enjin 1.5 liter TSI evo2 menggunakan pengecas turbo geometri boleh ubah (VTG) dengan proses kebuk TSI-evo bercekapan tinggi. 

Enjin dipadan bersama bateri baharu 19.7 kilowatt-jam (kWj) dan kedua-dua model mempunyai daya kilas tinggi sebaik saja mula dipandu hasil sumbangan motor elektrik.

 

Volkswagen Golf GTE 2024

 

Sebagai sebuah PHEV, pemilik boleh mengecasnya di kediaman atau mana-mana tempat pengecasan AC dengan kuasa sehingga 11 kW berbanding 3.6 kW sebelum ini.

Pemilik juga boleh menggunakan pengecas pantas DC dengan kapasiti sehingga 50 kW.

Bahagian dalam yang meriah ditinggal untuk GTI dan GTE kekal menarik dengan kerusi sport premium di dalam balutan berkotak yang ikonik.

Golf eHybrid lebih sederhana dengan kerusi sport balutan ArtVelours (fabrik mikro fiber).


 

Volkswagen Golf eHybrid 2024

 

Kedua-dua model dilengkapi sistem maklumat hibur dan sistem navigasi Digital Cockpit Pro. Skrin besar berukuran 12.9 inci.

Satu lagi ciri baharu untuk VW ialah logo depan bercahaya (teringat pada Proton Saga) dan pertama kali ditawarkan di Eropah.

Berkenaan harga, Golf GTE dijual daripada 46,745 euro (RM237,935) manakala Golf eHybrid daripada 44,240 euro (RM225,180).

Pada pendapat penulis, sudah sampai masanya VW mempelbagaikan rangkaian kuasa Golf seperti pengeluar dari Jepun di pasaran tempatan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen Golf GTE 2024