Volkswagen Golf Cabriolet, sensasi pemanduan rambut dihembus angin

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Golf adalah kereta ikonik yang memang tidak dinafikan lagi. Model ini mula dikeluarkan pada tahun 1974 dan masih popular sehingga kini.

VW juga galak dalam mengeluarkan pelbagai varian Golf. Dari model biasa sampai ke model R dan di antaranya ada satu model yang begitu istimewa.

Model yang dimaksudkan ialah VW Golf Cabriolet dan seperti namanya, hadir dengan bumbung boleh buka.

Berbanding Golf standard, model Cabriolet dikeluarkan lebih lewat iaitu pada tahun 1979.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
VW Golf Cabriolet

 

VW Golf Cabriolet bakal memasuki usia ke-40 dan sempena ulangtahun tersebut, Volkswagen Classic menyambutnya dengan menghantar dua penyertaan ke Pertunjukan Kenderaan Classic Bremen, Jerman.

VW menyambut ulangtahun tersebut dengan slogan 40 Years of Sunny Outlooks sebagai refleksi kepada sensasi pemanduan tanpa bumbung di bawah sinar matahari.

Berikut ialah detik penting 40 tahun VW Golf Cabriolet:

1. VW Golf Cabriolet I dan II

VW bijak dalam mempromosi kenderaan mereka. Slogan untuk pengiklanan VW Golf Cabriolet yang pertama ialah Sun, Moon and Cabriolet.

Bijak sungguh, apabila baca sahaja terbayang bagaimana memandu model ini. 

VW Golf Cabriolet sebenarnya dibuat secara usaha sama di antara VW dan Karmann dan pengeluaran pertama bermula pada 14 Februari 1979 di Osnabrück.

Golf Cabriolet juga adalah model susulan kepada Beetle Cabriolet dan ia tugas yang besar untuk digalas. Walaupun berlainan model, Golf Cabriolet tetap mendapat sambutan hangat dengan jualan tinggi tidak lama selepas ia dilancarkan.

 

VW Golf Cabriolet

 

Satu ciri utama Golf Cabriolet ialah palang kekal di atas tiang B. Reka bentuk ini adalah untuk keselamatan bagi melindungi pemandu dan penumpang.

Palang tersebut juga memberikan poin sambungan yang baik untuk tali pinggang keledar depan dan sebagai objek dalam membantu menaikkan cermin belakang dengan selamat dan senyap.

VW Golf II dilancarkan pada tahun 1983. Golf 1 Cabriolet masih diteruskan untuk satu tempoh yang lama sebelum model facelift dilancarkan pada tahun 1987.

Golf Cabriolet tersebut terus dijual sehingga pada tahun 1993 bila mana pengeluaran Golf II dihentikan. Dalam tempoh tersebut, Golf Cabriolet telah dikeluarkan sebanyak 389,000 unit di kilang Osnabrück.

Jumlah tersebut menjadikan Golf sebagai cabriolet paling banyak dikeluarkan mengatasi Beetle Cabriolet.

2. VW Golf Cabriolet III

Model pengganti dilancarkan pada Julai 1993. Model ini menggunakan teknologi daripada Golf III versi sedan atau Vento. 

Sekali lagi VW mengekalkan identiti sama iaitu palang di atas tiang B. Model ini mempunyai ketegaran dan keselamatan yang sama apabila terlibat dalam kemalangan golekan. Pada masa itu, teknologi palang automatik masih belum wujud.

Walaubagaimanapun, Golf Cabriolet III tetap canggih dengan dua beg udara, ABS dan perlindungan impak sisi sebagai kelengkapan standard.

 

VW Golf Cabriolet

 

Sekali lagi Golf boleh buka bumbung ini merupakan kejayaan untuk Karmann dan VW. Menjelang tahun 1997, sebanyak 139,578 unit berjaya dikeluarkan.

Pada tahun 1998, VW memperkenalkan model facelift dengan beberapa perubahan pada reka bentuk chasis. Pada masa ini, Golf Cabriolet III diangkat menjadi Golf Cabriolet IV. 

Pengeluaran di kilang Osnabrück kemudian ditamatkan pada tahun 2001.

3. VW Golf Cabriolet terakhir

VW tidak menggantikan Golf Cabriolet sehingga tahun 2011. Model Cabriolet baharu dibina dari Golf generasi keenam dan dikeluarkan di kilang baharu VW di Osnabrück.

Pengeluaran pertama ialah pada 17 Mac 2011. Model Cabriolet baharu ini tidak lagi menggunakan palang bumbung tetap seperti generasi terdahulu.

Palang tersebut digantikan dengan komponen perlindungan yang dikeluarkan secara automatik dalam masa beberapa saat sahaja.

 

VW Golf Cabriolet

 

Selain itu, bingkai cermin depan telah diperkukuh dan beberapa modifikasi penambahan dibuat pada struktur kereta dengan sejumlah beg udara bagi memastikan tahap keselamatan tinggi.

Pada masa ini juga Golf GTI Cabriolet pertama dilancarkan pada tahun 2012 dan lebih hebat apabila Golf R Cabriolet diperkenalkan pada tahun 2013.

Era Golf dengan bumbung terbuka kemudian ditamatkan pada tahun 2016 selepas 770,369 unit dikeluarkan.

4. Perancangan akan datang

Walaupun jumlah pengguna kereta cabriolet tidak besar namun ia tetap penting dalam mewarnai industri automotif apatah lagi buat VW.

Golf dengan bumbung terbuka telah ditamatkan tetapi VW mempunyai satu lagi perancangan. Di antaranya ialah melibatkan T-Roc Cabriolet.

Ini satu lagi projek menarik kerana T-Roc adalah sebuah model SUV kompak yang baru sahaja dikeluarkan oleh VW.

Jadinya, sensasi pemanduan rambut ditiup angin masih belum tamat!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…
Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…
Berita Global
Hot hatch pacuan semua roda itu dilihat memakai pelekat samaran dengan corak peringatan '50 years…