Volkswagen Golf baharu hampir siap, penyambung legasi 35 juta unit jualan

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Passenger Cars adalah satu jenama besar di dalam dunia automotif. Syarikat ini beroperasi di lebih 150 buah pasaran di dunia dan mengeluarkan kenderaan di lebih 50 lokasi di 14 buah negara. Pada tahun 2018, VW mengeluarkan 6.2 juta kenderaan dengan model terlaris seperti Golf, Tiguan, Jetta dan Passat.

Model-model VW bukan setakat menjadi kegemaran ramai tetapi juga adalah ikonik dengan sejarah yang panjang. Golf misalnya memasuki tahun ke-45 sejak dilancarkan pada tahun 1974. Kereta yang direka oleh Giorgetto Giugiaro ini mempunyai misi penting iaitu menggantikan model Beetle yang begitu popular.

Jadi, berjaya atau tidak? Dengan tujuh generasi dan lebih 35 juta unit dihasilkan Golf adalah model global yang berada di aras tersendiri. 
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024
VW Golf
Tugas berat untuk menggantikan Beetle dan berjaya.

 

Golf yang dijual di pasaran sekarang ini adalah generasi ketujuh dan pertama kali dipertontonkan Paris pada tahun 2012. Berdasarkan standard kitaran produk, tujuh tahun di pasaran adalah tempoh yang lama.

Tempoh tersebut tidak disiakan di mana Golf 7.5 dilancarkan pada tahun 2016. VW turut memasarkan Golf dalam pelbagai jenis daripada elektrik sehingga versi paling berkuasa Golf R.

Kini sudah sampai masanya untuk diganti baharu dan VW Golf generasi kelapan akan dipertontonkan buat kali pertama dalam masa beberapa bulan sahaja lagi atau paling awal pada minggu terakhir September depan. 

Sebelum didedahkan secara rasmi VW telah berkongsi sekeping foto Golf yang ditutup dengan grafik penyamaran. Secara asasnya Golf baharu mempunyai bentuk yang tidak jauh daripada model sekarang dan kekal dengan imej bersahaja dan tidak komplikated.

 

VW Golf R
VW Golf R

 

Dari depan, tiada garisan tajam dan ringkas sahaja cuma lampu utama nampak tirus daripada biasa. Liang udara pada bahagian bawah bampar kelihatan luas melintang dan bentuk gril juga ringkas tanpa bentuk 'ternganga' seperti trend kereta hari ini.

Dari tepi juga biasa, tiada garisan dramatik dan kekal seperti Golf yang dikenali ramai cuma perbezaan pada bahagian bumbung yang sedikit membujur ke belakang.

Kesimpulannya ialah, reka bentuk Golf masih berpegang pada konsep malar segar atau timeless supaya ia terus relevan dalam tahun-tahun mendatang. Rekabentuk begini biasanya terserlah pada perincian halus.

Perubahan terbesar pada Golf baharu ini dikatakan terletak pada teknologi lebih daripada pandangan luaran. Buat penulis pula, tidak sabar rasanya untuk menantikan Golf GTI dan Golf R baharu!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Ciri-ciri gayaan tidak sama namun kesemuanya berkongsi warna hitam pada bumbung, rel bumbung,…
Berita Global
  Kuasa? Enjin EA888 LK3 evo4 2.0 liter turbo menghasilkan 300 ps dengan daya kilas 400Nm dan…
Berita Global
  VW menawarkan Golf GTE dan Golf eHybrid dengan teknologi hibrid plug-in generasi kedua yang…