Volkswagen California CONCEPT 2023, jelajah dunia dengan selesa!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen California CONCEPT 2023
Volkswagen California CONCEPT 2023
Volkswagen Bus atau Kombi memang terkenal sebagai kenderaan pekhemah (camper) dan mempunyai nilai tinggi sekarang ini. 

Walaupun sudah ada van ID. Buzz, Kombi sebenarnya diwarisi VW California yang diubah suai daripada Transporter sejak sekian lama.

Tidak perlu susah payah, pelanggan boleh memesan van yang lengkap dari Volkswagen Commercial Vehicles (VWCV).

California dikatakan sebagai van pekhemah paling popular di dalam kelasnya dan jualan sudah pun melebihi 260,000 unit.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Terbaru VWCV memperkenalkan California CONCEPT baharu di Jerman. Van itu diubah suai daripada Multivan versi panjang yang dilancar pada 2021.

Maknanya, California CONCEPT lebih besar daripada California 6.1 sebelum ini. 

California CONCEPT dilengkapi bumbung boleh buka (pop-up) dengan ketinggian hampir dua meter.

Ciri itu diguna pada kesemua generasi bermula dari California 1988 hingga California 6.1 di pasaran sekarang ini.

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Konsep tiga zon

California CONCEPT yang dipamerkan di Jerman menggunakan konsep tiga zon bagi menunjukkan ciri praktikal dan kegunaannya.

Zon 1 (luar)

Pintu gelangsar bahagian kanan menyediakan ruang masuk dan keluar yang selamat dari laluan pejalan atau kaki lima.

Memuatkan dan menurunkan barang juga mudah dan selamat. Ketika berada di tapak perkhemahan, pengembara boleh berteduh di bawah bidai matahari.

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Zon 2 (dalam)

Berbanding California di pasaran, kerusi belakang model baharu dibuat terpisah, lebih ringan, boleh dialih dan sangat selesa.

Bentangan kerusi boleh ubah memudahkan barangan rekreasi seperti basikal dimasukkan ke dalam van.

Bahagian tempat duduk boleh ditukar kepada ruang rehat dengan menghadap badan masing-masing ketika menjamu selera dan kerusi belakang boleh diubah menjadi katil. 

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Zon 3 (luar)

California CONCEPT membawa satu ciri baharu yang belum pernah diguna pada model sebelum ini.

Pintu gelangsar, dapur dan sengkuap (awning) pada bahagian kiri mewujudkan ruang luar (outdoor) baharu dan praktikal.

Semasa berkhemah ruang itu boleh diguna untuk memasak dan makan susulan dapur, sinki, hob dan peti sejuk yang boleh diguna dari luar.

Van ini juga dilengkapi dapur gas sama seperti model terdahulu.

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Soket 230 volt pada bahagian luar dapur dan meja luar jenis lipat turut memudahkan aktiviti berkhemah. Laci dapur juga boleh dicapai dari dalam dan luar.

Selain itu, pemanggang yang disimpan di dalam unit dapur boleh dikeluarkan dari luar van. 

Pintu gelangsar kedua memberi manfaat kepada pengembara di United Kingdom, Australia dan New Zealand untuk masuk dan keluar dari kaki lima.

Mahu beli pisang goreng apabila tiba di Malaysia pun mudah!

Teknologi dan praktikaliti

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Selain ciri-ciri yang dinyatakan, California CONCEPT juga bagus dari segi penggunaan ruang.

Sebagai contoh brek parkir elektronik menjadikan ruang di antara pemandu dan penumpang depan dapat dimanfaatkan untuk kegunaan lain.

Di bawah kerusi depan ada laci dan dan kerusi individu di belakang menyediakan ruang simpanan tambahan.

Banyak lagi tempat simpanan barang seperti kabinet dapur dan di bawah katil. 

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Satu lagi yang menarik ialah lampu dalaman dengan pelbagai warna bagi menyesuaikannya mengikut mood.

Unit dapur mempunyai lampu meja boleh alih untuk suasana nyaman dan jika tidak cukup, lampu LED pada sengkuap menjadikan malam lebih 'bersuasano'.

Bumbung boleh buka dan tilam berkualiti

Bumbung boleh buka California CONCEPT menggunakan badan aluminium ringan dan bukaan tingkap yang luas untuk menikmati pemandangan.

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Turut dilengkapi soket USB-C dan lampu LED selain tilam yang selesa untuk tidur yang nyenyak di bawah langit dan dihiasi bintang.

Kawalan melalui pelbagai peranti

Gerakan bumbung dikawal melalui tablet pada tiang C termasuk fungsi perkhemahan lain.

 

Volkswagen California CONCEPT 2023

 

Skrin sentuh itu memaparkan maklumat seperti tahap air segar dan buangan, lampu dalaman, status bekalan kuasa, peti sejuk dan pemanas.

Kesemua fungsi tersebut juga boleh dikawal menggunakan telefon pintar atau sistem maklumat hibur.

Satu lagi yang menarik ialah sistem maklumat hibur boleh memaparkan tahap kerataan untuk pemandu melaraskan van.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen California CONCEPT 2023