Volkswagen beli saham Xpeng, Audi tingkat kerjasama dengan SAIC

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Group
Volkswagen Group
Jumlah pengguna yang besar dan permintaan kenderaan elektrik (EV) di China adalah satu tarikan besar buat pengeluar kereta.

Volkswagen Group (VW Group) misalnya telah lama bertapak dan turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat China.

Terbaru VW mengumumkan kerjasama strategik dengan Xpeng dan peningkatan kerjasama di antara Audi dan SAIC.

Kerjasama VW Group dan SAIC berdekad lalu diterjemahkan kepada SAIC Volkswagen Automotive Co., Ltd. (SAIC Volkswagen).
Kerjasama Volkswagen Group di China

SAIC Volkswagen mempunyai lima kilang dan lebih sepuluh siri produk di China termasuk model elektrik ID.4 X.

Kerjasama terbaru melibatkan penambahan siri produk baharu dan selari dengan strategi in China for China bagi memanfaatkan trend pasaran pada peringkat awal dan seterusnya.

VW Group dan Xpeng

VW Group telah menandatangani perjanjian rangka kerja teknikal dengan Xpeng.

Peringkat awal kerjasama melibatkan program pembangunan bersama dua buah model elektrik jenama kumpulan VW dalam segmen sederhana untuk pasaran China.

 

XPeng P7
XPeng P7

 

Model itu akan diletakkan dalam siri produk MEB sedia ada dan akan dilancarkan pada 2026. Perancangan ini tertakluk kepada perjanjian yang dimuktamadkan.

VW Group akan melabur AS$700 juta (RM3.18 bilion) dan memperolehi 4.99 peratus pegangan (penambahan modal) dan menjadi pemerhati dalam lembaga pengarah Xpeng.

Xpeng bukan sekadar pengeluar EV tetapi sebuah syarikat EV pintar dengan ibu pejabat di Guangzhou dan pejabat di Beijing, Shanghai, Lembah Silikon dan San Diego.

Xpeng yang ditubuhkan pada 2015 menawarkan model seperti P7, P5, G3i dan G9. Model G3 boleh ditemui di Norway.

 

XPeng sets records for longest autonomous drive
Rekod Xpeng dalam pemanduan autonomi

 

Audi dan SAIC

Audi yang merupakan subsidiari VW Group telah menandatangani memorandum strategik dengan SAIC bagi meningkatkan lagi kerjasama sedia ada.

Program pembangunan bersama bertujuan untuk menambah portfolio model EV terhubung penuh di dalam segmen premium dengan pantas dan cekap.

Model EV yang dirancang akan mengisi segmen yang belum diwakili Audi di China.

Model itu akan dilengkapi perisian dan perkakasan canggih dan pihak terlibat akan menyumbang kepakaran masing-masing.

SAIC sebagai konglomerat besar mempunyai beberapa jenama di bawahnya seperti IM, Maxus, MG, Rising Auto, Roewe dan Wuling.

 

SAIC-Volkswagen Lamando
SAIC-Volkswagen Lamando

 

Platform tempatan baharu

Kedua-dua perjanjian yang dimeterai juga membayangkan program pembangunan bersama pada masa depan untuk membangunkan platform baharu.

Platform tempatan itu dibuat untuk kenderaan pintar, berhubung penuh (ICV) generasi baharu.

Kerjasama tersebut bagi mengembangkan siri produk VW Group dengan pantas di China terutama sekali dalam segmen dan untuk pelanggan yang berpotensi.

Perincian kerjasama platform elektrik bergantung kepada perundingan di antara pihak terlibat.

 

SAIC-Volkswagen Lavida
SAIC-Volkswagen Lavida

 

Volkswagen Group (China) Technology Company (VCTC)

VCTC yang ditubuhkan baru-baru ini akan menjadi rakan kerjasama pembangunan untuk Xpeng.

Pusat pembangunan, inovasi dan perolehan baharu di Hefei merupakan lokasi pembangunan terbesar Kumpulan VW di luar Wolfsburg, Jerman.

Pusat itu akan menempatkan lebih 2,000 pakar pembangunan dan perolehan yang akan terlibat dalam ICV baharu.

 

XPeng P7
XPeng P7

 

Pembesaran kilang

Kerjasama merupakan aspek penting dalam strategi in China for China bagi memanfaatkan trend pasaran pada peringkat awal dan seterusnya.

Bagi mempercepatkan pembuatan keputusan dan proses pembangunan di China, VW sedang mengukuhkan keupayaan tempatan untuk e-mobiliti, digitalisasi dan pemanduan autonomi.

VW dalam proses mengembangkan kilang Hefei di Anhui kepada sebuah pusat pengeluaran canggih dan hab inovasi dan pembangunan.

VW Anhui Component Company pula sedang membangunkan pusat pengeluaran untuk sistem bateri voltan tinggi di Hefei.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Ucapkan selamat datang kepada Volkswagen ID.7 Tourer 2024, sebuah wagon berkuasa elektrik yang…
Berita Global
Mahindra akan menggunakan komponen-komponen yang dibekalkan oleh Volkswagen untuk model kenderaan…
Berita Global
Ini bermakna, Toyota masih lagi kekal sebagai pengeluar automotif terbesar di dunia untuk tahun…