Volkswagen bawakan kembali warna ikonik empat tona Harlequin pada Polo 2021!

oleh Mohamad Hanif|
Tahukah anda, idea untuk menggunakan skema warna empat tona Harlequin pada model asal Polo tahun 1994 sebenarnya datang dari sebuah iklan Beetle yang wujud pada tahun 1964.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada ketika itu, Volkswagen mahu mendemonstrasikan tahap versatiliti yang ada pada model Beetle, sehinggakan beberapa komponen daripada model Beetle yang berlainan tahun produksi boleh ditukarkan antara satu sama lain dengan mudah.

Beralih ke tahun 1994, pada ketika itu Volkswagen baharu sahaja memperkenalkan sistem kaedah pengeluaran baharu yang dinamakan sebagai Baukasten System yang terdiri daripada empat blok - pemanduan, kelengkapan, opsyen dan warna.

 


Untuk menggambarkan keempat-empat blok itu, Volkswagen telah menggunakan empat warna berbeza - biru untuk sistem pemanduan, kuning untuk kelengkapan, merah untuk opsyen dan hijau untuk warna cat.

Untuk peringkat awal, hanya 20 unit Polo dihasilkan dengan gandingan warna tersebut untuk tujuan promosi di acara pengedar, namun kehadiran warna unik itu telah menarik minat pelanggan, dan pihak Volkswagen akhirnya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai model produksi sebenar.

Untuk menghasilkan warna Harlequin ini tidaklah sukar, ini kerana Volkswagen akan memproduksikan empat unit Polo dengan warna yang berbeza (biru, kuning, merah dan hijau) sebelum akhirnya panel-panel badan pada empat kereta itu ditukar antara satu sama lain.

 


Sebanyak 3,806 unit Polo Harlequin telah dihasilkan pada ketika itu, dan bagi mereka yang mahukan kembali warna tersebut pada Polo 2021, ada berita kurang baik buat anda.

Ini kerana Volkswagen Netherlands hanya menghasilkan unit one-off sahaja Polo Harlequin 2021, dan tidak dibuat untuk tujuan produksi besar-besaran.

Anda mungkin perlu mengajak tiga rakan anda untuk menempah Polo 2021 dan kemudian DIY sendiri di bengkel untuk menghasilkan Harlequin anda yang tersendiri.