Volkswagen bangunkan pusat kitar semula bateri EV di Jerman

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang diketahui, binaan sesebuah pek bateri mengandungi bahan-bahan mentah seperti lithium, nikel, mangan dan kobalt, di mana proses pelupusan yang tidak sempurna mampu memberikan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

Untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar, Volkswagen Group berazam untuk mengitar semula sehingga 90 peratus daripada komponen bateri terpakai dengan membangunkan sendiri fasiliti kitar semula bateri EV di Salzgitter, Jerman.

 


Menurut Thomas Tiedje, Ketua Perancangan Teknikal di Volkswagen Component menjelaskan, "setiap modul bateri akan diperiksa terlebih dahulu untuk melihat sama ada masih lagi di dalam kondisi yang baik dan boleh digunakan semula di dalam sistem storan tenaga mudah alih - seperti robot atau stesen pengecasan.

 


Namun bagi unit bateri yang sudah pun mencapai akhir hayat, ia akan dihantar ke fasiliti yang dimaksudkan untuk pengurusan bahan-bahan mentah seperti lithium, nikel, mangan dan kobalt.

Tidak seperti cara kebiasaan di mana bateri terpakai akan berakhir di dalam relau letupan, Volkswagen Group Component menggunakan proses mekanikal dengan mengeringkan dan meleraikan bahan-bahan seperti casis aluminium, kabel kuprum dan plastik.

 


Modul bateri yang tinggal akan dihancurkan di bawah tekanan atmosfera yang tinggi dan bertukar menjadi serbuk hitam yang mengandungi bahan-bahan lithium, mangan, kobalt dan nikel.

Serbuk hitam itu tadi kemudian diasingkan dengan menggunakan proses hidrometallurgikal, dan bahan-bahan itu tadi boleh digunakan semula sebagai bahan mentah sekunder untuk pembinaan katod bateri baharu dengan kualiti yang sama seperti penggunaan bahan mentah utama.

 


Dengan pembangunan fasiliti kitar semula bateri EV ini, Volkswagen berharap agar dapat mengurangkan penghasilan satu tan CO2 untuk setiap kenderaan, dan dalam jangka masa yang panjang ia mampu mengurangkan lagi kos penghasilkan bateri baharu, menurunkan lagi harga EV sekaligus memberikan manfaat kepada pengguna.