Volkswagen bakal perkenalkan Golf GTI versi elektrik!

oleh Firdaus Razani|
Volkswagen semakin hampir merealisasikan visi elektrifikasinya apabila mengesahkan perancangan untuk memperkenalkan model Golf GTI elektrik sepenuhnya menjelang penghujung dekad ini.

Langkah ini hadir selepas kemunculan model konsep ID.GTI pada 2023, dan pengumuman rasmi mengenai ID.3 GTI yang dijangka memasuki pasaran Eropah seawal tahun hadapan. Kini, perhatian tertumpu kepada transformasi sebuah nama ikonik, GTI ke dalam era mobiliti elektrik.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Dalam temu bual media antarabangsa bersama AutoExpress, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Thomas Schäfer, menjelaskan bahawa model Golf GTI elektrik ini bukan sekadar satu lagi EV biasa.

Beliau menyifatkannya sebagai “sebuah monster” dan menjanjikan bahawa semangat serta identiti GTI yang sinonim dengan keseronokan pemanduan akan terus dikekalkan walaupun dengan trenkuasa elektrik.

Beliau menekankan bahawa jika Volkswagen mahu membawa kembali nama GTI, ia perlu memenuhi piawaian dan karakter sebenar GTI.

 

gti

 

Menariknya, walaupun menerima nafas baharu sebagai sebuah EV, model Golf GTI elektrik akan kekal menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan (FWD), selari dengan tradisi GTI sejak era Mk1.

Sementara itu, Volkswagen turut mengesahkan bahawa model berprestasi lebih tinggi, Golf R elektrik, juga sedang dibangunkan dan akan menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) untuk prestasi maksimum.

 

gti

 

Kedua-dua model ini akan diasaskan pada platform baharu Volkswagen Group yang dikenali sebagai Scalable Systems Platform (SSP). Platform ini dibangunkan untuk menyokong pelbagai saiz, segmen dan jenama di bawah naungan Volkswagen Group – daripada Skoda, Audi, hinggalah Lamborghini.

Ia direka dengan pendekatan modular dan teknologi terkini yang membolehkan pembangunan model baharu menjadi lebih fleksibel dan efisien. Schäfer turut menyatakan bahawa prototaip awal berdasarkan platform SSP telah diuji dan menunjukkan prestasi yang sangat mengagumkan, bukan hanya dari segi kuasa tetapi juga dalam aspek pengendalian, rasa pemanduan serta rekaan bunyi.

 

gti

 

Volkswagen akan memulakan barisan EV GTI dengan model berdasarkan ID.2, yang akan dijual khusus untuk pasaran Eropah. Ia bakal menjadi model pengenalan kepada generasi baharu GTI tanpa enjin pembakaran. Menyusul selepas itu ialah ID.3 GTI, yang dijadualkan tiba sekitar tahun hadapan.

Sementara itu, model Golf GTI elektrik sebenar dijangka muncul menjelang tahun 2030, manakala versi Golf R EV akan menyusul kemudian sebagai flagship AWD untuk barisan prestasi elektrik VW.

 

gti

 

Dengan pendekatan yang serius dan teknologi yang semakin matang, Volkswagen jelas mahu memastikan bahawa peralihan GTI ke dalam dunia elektrik bukan sekadar transformasi kosmetik, tetapi sebuah kelahiran semula yang setia kepada DNA asal GTI – kereta pemandu sejati dengan identiti tersendiri.