Volkswagen Automotive Academy raikan 46 graduan dari rangkaian pengedar

oleh Mohamad Hanif|
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini mengadakan satu majlis graduasi untuk 46 orang graduan yang merupakan kakitangan rangkaian pengedarnya di Volkswagen Automotive Academy.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seramai 20 orang wakil jualan dan 26 kakitangan selepas jualan berjaya melengkapkan kursus masing-masing. Ini menjadikan mereka kumpulan graduan kedua yang akan diberi pengiktirafan sejak Akademi itu dilancarkan pada Ogos 2017. 

Pengurus Jualan dari rangkaian pengedar menerima sijil Kecemerlangan Pengurusan Jualan (SME). Manakala Perunding Jualan pula menerima sijil Latihan Asas Antarabangsa (IBT). Kursus-kursus tersebut memakan masa selama enam bulan sehingga setahun untuk disempurnakan, bergantung kepada tahap persijilannya. 

Graduan selepas jualan menerima sijil Penasihat Servis Volkswagen Bertauliah, Master Technician Volkswagen Bertauliah dan Kecekapan Diagnostik Volkswagen Bertauliah. Semua juruteknik ini perlu menjalani modul-modul kelayakan asas dan lanjutan yang memakan masa selama lebih dua hingga tiga tahun untuk disempurnakan. 
 


Master Technician ialah tahap paling tinggi dalam kategori juruteknik. Majlis itu menyaksikan seramai tujuh orang graduan menyertai kelompok tersebut, seterusnya menjadikan Master Technician bertauliah di Malaysia kepada 20 orang. 

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Di Volkswagen, kami ingin terus menambah baik pengalaman pemilikan. Jadi, penting bagi kami untuk memastikan bahawa kakitangan kami dilengkapi dengan set kemahiran yang betul. Kami komited untuk melabur demi masa depan pekerja tempatan. Latihan yang diiktiraf memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kualiti dan kecemerlangan dapat dicapai, kemudiannya dilaksanakan ke seluruh rangkaian pengedar kami. Inilah komitmen kami di bawah falsafah ‘Volkswagen Cares’.”

Terletak di tengah-tengah hub automotif di Glenmarie, Shah Alam, Akademi Latihan Volkswagen dilancarkan pada Ogos 2017 dan memiliki keluasan lebih 14,117 kaki persegi. Akademi ini dilengkapi dengan segala kemudahan yang diperlukan untuk menjalankan latihan jualan dan selepas jualan (teknikal dan bukan teknikal) serta mampu memuatkan sehingga 100 pelatih setiap hari.