VLog Beetle disertakan: Pengembaraan bersama 5 serangkai Volkswagen dalam #VWINSPIRED

oleh SALINA JALIL|
Lewat tahun lepas kami menerima jemputan dari pihak Volkswagen Passenger Cars Malaysia untuk bersama-sama para pengamal media dari industri gaya hidup untuk pemanduan seharian bersama lima serangkai model Volkswagen iaitu Beetle Sport, Passat varian Comfortline, Vento varian Highline, Golf R-Line dan Tiguan varian Highline.


Lokasi perjumpaan adalah di Bangsar dan telah bermula dari jam 9 pagi menuju ke Bentong bukan mengikut lebuhraya tetapi menyusuri jalan-jalan yang merangkumi pelbagai bentuk muka bumi untuk memberikan pengalaman pemanduan yang berbeza.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Kenderaan pertama yang di bawa keluar dari kawasan parkir adalah Volkswagen Beetle Sport atau lebih dikenali sebagai Cik Kumbang di kalangan orang-orang Malaysia yang berwarna jingga dan itulah kenderaan kami. Terasa sungguh 'kewanitaan' apabila berada di belakang stereng tetapi apabila ditekan pendikit, hilang terus 'kewanitaan' kerana dengan enjin 1.2TSI yang menggunakan direct injection turbocharger bersama transmisi 7-kelajuan Direct Shift Gearbox (DSG)dan tork maksima sebanyak 175Nm, kami terasa seperti sedang melayang di alam mimpi, lebih-lebih lagi apabila mengambil koner seperti di Bukit Putus Negeri Sembilan dan jalan belakang menuju ke Genting Highlands, padu sungguh bossku!

 

Sebenarnya keseronokan sebenar adalah apabila berada di dalam ruang kabin. Ruang permukaan dashboard diberikan warna yang sama dengan model kereta itu sendiri, konsul tengah berwarna kelabu metalik, kelim krom di sekitar suis lampu dan pendingin hawa, sistem infotainment yang didatangkan dengan skrin sesentuh bersaiz 6.5" beserta 8 speaker, sememangnya Beetle ini sebuah kenderaan 'lifestyle' yang bergaya pada harga bermula dari RM152,390. 

 

Volkswagen Beetle ini juga tidak kalah dari aspek keselamatan seperti empat beg udara, ABS, BA, ASR, ISOFIX, ESC, Hill Start Assist dan lain-lain. 

 


Apa yang pasti, kemana sahaja kami pergi, setiap mata pasti menjeling Cik Kumbang ini! Dengan rupabentuknya yang tidak lapuk dek zaman dan sememangnya ia ikonik lebih-lebih lagi pada mata bulat lampu hadapan dan dialiskan 'matanya' dengan LED. 

 


Kami juga telah memandu uji model ini selepas acara #VWINSPIRED ini, VLog kami seperti di bawah:-

 

 

 

Sesi pemanduan Beetle ini berakhir apabila aktiviti pertama dimulakan iaitu menguji kreativi kami mewarna samada tshirt atau kasut mengikut kumpulan masing-masing dalam masa 15 minit dan markah dirahsiakan sehingga penghujung sesi pemanduan ini.
 

 

Kenderaan kedua kami adalah Passat dari varian Comfortline. Pada tahun 2017 dahulu kami pernah memandu uji Passat ini dan amat teruja untuk memandu uji sekali lagi model dan varian yang sama. 

 


Sememangnya kami tidak kecewa kerana dari segi kuasa dan pengendalian, masih terasa jentera dari German ini meluncur lancar di jalan berliku dan lebuh raya seperti berada di dalam kapalterbang, cuma apabila kerling ke panel speedometer baharu lah perasan bakal disaman!
 

 

Ramai yang berkata sekiranya duduk di dalam sebuah kereta segment D, akan tampil identiti seperti seorang 'uncle'/pakcik. Tetapi ungkapan itu tidak boleh digunapakai pada Volkswagen Passat ini kerana yang pasti anda menampilkan imej 'cool' dan masih boleh berentap kerana Passat Comfortline ini didatangkan dengan 1.8TSI kuasa turbocharged direct petrol injektion, DSG transmisi 7-kelajuan dengan kuasa 250Nm tork dan 180 PS dan dari 0 ke 100km dalam masa 7.9 saat, ini lah keindahan Passat sebenar kerana apabila anda ingin memintas kenderaan lain, terasa amat manis sekali, tekan sedikit pendikit dan rasai sendiri bagaimana kuasa turbo dan transmisi DSG ini 'sap sap soy' meninggalkan kenderaan lain. 

 


Dalam ertikata yang lain, sekiranya anda bertemu dengan Passat di lebuh raya, tolong ketepi dari berikan laluan kepada mereka (melainkan anda memandu Golf GTi)! Dan kepada mereka yang kerap memandu perjalanan jauh, Passat Comfortline ini sudah cukup memadai untuk anda kerana tahap keselesaanya adalah seperti berada dalam kapalterbang dan diberikan tempat duduk di ruang Business Class!

 

Video review penuh tentang Passat Comfortline yang telah kami siarkan dahulu di sini: 

 

 

 

Kenderaan ketiga kami adalah Golf R-Line berwarna kuning keemasan atau nama rasminya Tumeric Yellow. Rasanya tidak perlu berceloteh panjang tentang hatchback sporty ini kerana enjin empat silinder 1.4L TSI dengan 148HP dan tork 250Nm dan transmisi tujuh kelajuan sudah cukup membuat anda terasa muda dan 'berkuasa'. Sedangkan Passat yang panjang berjela terasa sempoi apabila beraksi di jalan raya, inikan pula hatchback sporty yang lebih kecil dan lebih ringan, sudah semestinya anda boleh berlagak hero pada bila-bila masa sahaja. 
 

 

Dengan empat mode pemanduan mengikut mood anda iaitu individual, eco (untuk yang kedekut dan berkira), normal (bagi yang mencari ketenangan) dan sport (untuk yang agresif dan ingin mencabar skil pemanduan). Bonus di sini adalah walaupun ia mencocot pantas bergerak, ia tetap selesa untuk lima orang dewasa dan ruang boot boleh diperluaskan dari 380 liter sehingga 1270 liter. Dalam ertikata yang lain sekiranya Golf GTi melebihi bajet anda, anda masih mempunyai pilihan dengan membeli Golf R-Line ini pada harga RM173,390 kerana ia tetap mantap!

 

Sampai di Bentong kami berhenti makan tengahari di Restoran Hill Farm di mana kesemua tanaman sayur dilakukan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan organik. Teramat indah pemandangan dari restoran ini, melihat kehijauan sejauh mata memandang. Menu dan juadah tengahari di sini juga berbeza dari restoran yang pernah pergi, tidak pernah kami makan bunga dalam hidangan kami dan ini adalah kali pertama merasainya. 

 

Dari Bentong kami diberikan pula Vento varian Highline yang berharga RM91,490. Dalaman rangkuman lima model kenderaan yang kami pandu pada hari itu, ini lah satu-satunya model yang tidak memberikan kami 'wow factor', rasanya dari aspek pemanduan ianya biasa sahaja dan tidak terasa begitu 'German'walaupun ia didatangkan dengan empat silinder 1.2L TSI dengan transmisi tujuh kelajuan, 105PS dan tork 175Nm.


Mungkin juga disebabkan kepadatan perut kami, elemen-elemen keseronokan pemanduan hilang apabila berada di belakang stereng dengan Vento ini. Kereta segmen B ini cuma beraksi biasa-biasa sahaja seperti kereta lain yang berada di dalam segmen yang sama.

 

Tiba di Bukit Kiara, aktiviti kumpulan kami seterusnya adalah latihan memandu secara slalom dan cabaran memasuki ruang parkir tanpa penggunaan kamera undur, cuma berpandukan elektronik parkir brek. Kumpulan pertama pula cabarannya adalah kepantasan menukar tayar.

 

Dari Bukit Kiara kami diberikan Volkswagen Tiguan varian Highline yang berharga RM165,990 sebagai kenderaan terakhir kami. SUV Tiguan ini sememangnya idaman kami sejak azali lagi kerana ia sesungguhnya memberi satu kepuasan yang tidak dapat dicoretkan di atas kertas tetapi perlu mengalaminya sendiri. 

 


Dari segi rupa bentuk, Tiguan ini tidaklah begitu 'terkini' dan berpetak-petak, berbeza dengan SUV dari negara Jepun dan Korea tetapi 'beauty lies in the eyes of the beholder' dan dengan lampu hadapan dan belakang serta DRL dari jenis LED, sudah cukup menarik untuk kami dan rupa bentuk yang simple pasti tak lapuk dek zaman!
 

 

Bahagian enjinnya pula dikuasakan dengan enjin pengecas turbo 1.4L TSI dengan empat silinder dan kotak gear jenis basah DSG (direct shift gear) dengan transmisi 6 kelajuan yang menghasilkan tork 250Nm serta 150PS, sudah memadai memberi kepuasan pemanduan kerana sistem gantungan Tiguan ini 'ngam-ngam' dan memberi keselesaan bukan sahaja kepada pemandu tetapi penumpang juga. 

 


Ruang boot yang luas yang boleh memuatkan barangan pembelian dari IKEA dan sesuai untuk kegunaan sebuah keluarga juga, lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan dan ingin pulang ke kampung. Corong pendingin hawa di tempat duduk belakang beserta pengawal suhu tersendiri juga merupakan satu kelebihan pada Tiguan ini.

 

Video penuh tentang Tiguan ini di sini:

 

 


Apa yang pasti, kesemua model Volkswagen yang kami pandu uji pada hari ini didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan seperti beg udara, ESC, ABS, Brake Assist, Hill Hold Control, EPB dan pelbagai lagi.

 

Pengembaraan kami berakhir pada jam 5 petang apabila kami tiba di Bangsar. Nampaknya kami telah memecah rekod pemanduan kami pada hari ini kerana dapat memandu lima jenis model Volkswagen dalam masa sehari, peluang yang jarang kami temui dan sememangnya dinanti-nantikan. #VWINSPIRED sememangnya memberi inspirasi untuk menerokai daya kreativiti dan identiti diri anda sendiri!