Laman web Autolifethailand nampaknya telah pun berjaya mengesan unit ujian Yaris Ativ (nama lain bagi Toyota Vios) yang dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos ini.
Difahamkan, Vios generasi baharu bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin di Thailand, iaitu nadi 3NR-VE 1.2 liter yang bakal diposisikan dalam kelas eco car, serta penawaran nadi hibrid M15A-FXE 1.5 liter bagi membolehkan Vios bersaing secara rapat dengan City e:HEV.
Trenkuasa hibrid itu sebelum ini pernah ditawarkan pada model Toyota Aqua di Jepun.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Toyota Vios 2023 dibangun berdasarkan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) - pelantar yang sama digunakan pada model Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa, serta MPV Toyota Veloz/Daihatsu Xenia.
Reka bentuk luarannya banyak dipengaruhi oleh model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang muncul di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, namun sekilas pandang Vios baharu nampak seperti sebuah Camry versi mini.
Lebih banyak butiran lanjut bakal diketahui menjelang pelancaran rasminya dalam masa beberapa bulan kelak.
Sumber: Autolifethailand