Seperti musim lalu, Vios Challenge akan dibahagikan kepada empat kelas, iaitu Promotional, Super Sporting, Sporting dan Rookie dengan jumlah hadiah terkumpul melebihi setengah juta Ringgit, menjadikan Vios Challenge salah satu sukan permotoran yang lumayan di Malaysia.
Kelas Super Sporting bakal menyaksikan kemunculan semula juara musim lalu, Tengku Djan Ley (Prima Pearl Auto) yang akan bergandingan dengan Mitchell Cheah, diikuti Mark Darwin (Laser Motor Racing) bersama veteran Eddie Liew.
Selain itu, ia bakal disertai oleh bakat muda seperti Amer Harris (M7 Japan Project Team), Hayden Haikal dan Alister Yoong (Axle Motorsports) yang merupakan anak kepada bekas pelumba F1 Alex Yoong.

Pelumba lain termasuklah Fariqe Hairuman (M7 Japan Project Team), Freddie Ang (Telagamas Toyota), Brendan Paul Anthony (Royal47 Racing), William Ho (Toyotsu Racing), Ady Rahimy (23 Motors) dan Clement Yeo (Distinctive Model).
Kelas Sporting pula bakal menampilkan 20 orang pelumba dengan kehadiran juara kelas Rookie musim lalu, Naquib Azlan (Axle Motorsports), serta satu-satunya pelumba wanita Shasha Shafie (R&R Sport Speed Garage).
Dua lagi pelumba baharu adalah Muhamad Roni Risman (Super Evergreen Motorsports) dan Abdul Miqail (23 Motors).
Kelas Promotional yang disertai oleh barisan selebriti turut menyaksikan kemunculan semula juara musim 4, Shukri Yahya bersama-sama Zizan Razak, Nabil Ahmad, Janna Nick, Wany Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar Ain Edruce dan personaliti TV Ahirine Ahiruddin.

Kelas Rookie menerima kehadiran enam muka baharu, dan dua daripadanya merupakan Adele Liew dan Ashen Shanmuganathan masing-masing anak kepada pelumba Super Sporting (Eddie Liew) dan Shanmuganathan Arumugan (Sporting).
Pusingan pertama Vios Challenge tidak dibuka kepada umum sebagai langkah berjaga-jaga, namun orang ramai dijemput untuk menyertai siaran langsung serta berpeluang untuk menyertai GAZOO Racing Dream Team TGR Fantasy untuk mencipta pasukan perlumbaan impian masing-masing.
Siaran langsung boleh ditonton menerusi laman web www.toyota.com.my serta laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia.