Membuat kemunculan kali pertama, pelumba touring Mitchell Cheah serta pemandu program Sepang Talent Development Ady Rahimy masing-masing meraih tempat pertama di dalam kelas Super Sporting dan Sporting.
Dalam pusingan kelayakan, Cheah berjaya mencatatkan masa 1 minit 25.618 saat dan kekal menguasai perlumbaan sehingga tamat, sementara pendahulu kejuaraan Tengku Djan pula terpaksa berpuas hati di tangga ke-14 disebabkan terpaksa membawa beban tambahan 40 kg, dan insiden kemalangan kecil yang berlaku di Turn 8.
Sementara itu dalam kelas Sporting, Ady Rahimy berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu dengan kelebihan masa sebanyak 4.5 saat bermula dari pusingan kedua.
Kelebihan itu hilang tatkala kereta keselamatan yang muncul pada pusingan ke-15, namun beliau mampu mengekalkan kedudukan sehinggalah perlumbaan tamat, dengan kelebihan 0.6 saat di hadapan pemenang tempat kedua, Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser).

Kelas Rookie pula menyaksikan pendahulu kejuaraan Naquib Azlan meraih kemenangan ketiga walaupun beliau bermula dari kedudukan grid yang ketiga.
Tempat kedua pula disandang oleh Mika Hakimi diikuti oleh Amer Harris di tempat ketiga, sementara Putera Adam berjaya menjadi pendahulu pada pusingan ke-11, namun terdapat insiden yang menyebabkan beliau terpaksa bersara terlebih awal.
Kelas Promotional menyaksikan Shukri Yahaya berjaya menguasai perlumbaan dari petak pertama, dan kekal mendahului perlumbaan sehinggalah ke garisan penamat.
Pertarungan tempat kedua antara Nabil dan Zizan Razak agak sengit di mana kedua-dua pelumba enggan menyerah kalah, namun Zizan terpaksa bersara awal disebabkan insiden sentuhan antara kedua-dua jentera yang menyebabkan sistem suspensinya rosak.
Nabil berjaya menduduki tempat kedua, sementara Nabila Razali yang bermula dari petak kelapan berjaya mara untuk merampas tempat ketiga.

Perlumbaan Kedua Pusingan Kedua Vios Challenge akan disiarkan secara langsung esok di laman web UMW Toyota (www.toyota.com.my) dan di laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota GAZOO Racing Malaysia.