Menurut Presiden UMW Toyota Ravindran K berkata, "Kami amat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Festival dan Pusingan Kedua Vios Challenge. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk semua orang, bukan sahaja untuk seisi keluarga, malah untuk mereka yang mahu menikmati perlumbaan di hujung minggu.
Jelasnya lagi, Toyota GAZOO Racing Festival merupakan satu platform untuk Toyota meraikan kembali para pelanggan di atas sokongan terhadap jenama itu selama ini.
"Untuk perlumbaan, Vios Challenge berterusan menyediakan kemasukan yang berpatutan untuk perlumbaan yang kompetitif dan sama rata menerusi format one-make, serta pelbagai kelas untuk pelumba muda, amatur, professional dan selebriti tempatan.
Musim kelima Toyota GAZOO Racing Festival menampilkan tiga pusingan dengan jumlah perlumbaan adalah sebanyak enam kali, di mana pusingan ketiga pula bakal diadakan pada bulan September ini.

Dalam empat musim yang lalu, acara tahunan ini telah berjaya meraih tontonan lapan juta pengunjung dan penonton dalam talian, dengan capaian media sosial melebihi 19 juta menjadikannya salah satu acara permotoran domestik yang paling banyak ditonton.
"Inilah apa yang kami maksudkan dengan perlumbaan rakyat, ia bukan sahaja bertujuan untuk mengubah dinamik sukan permotoran tempatan, akan tetapi ia juga sebuah acara untuk meraikan rakyat dan dalam masa yang sama mampu menarik minat mereka untuk mempelajari, memahami dan menghargai sukan permotoran seperti yang kita buat terhadap acara sukan tradisional seperti bola sepak dan badminton," jelasnya lagi.
Pintu masuk Toyota GAZOO Racing Festival akan dibuka secara rasmi pada 25-26 Jun 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, di mana yuran kemasukan dan parkir adalah percuma.
Kesemua pengunjung perlu mendaftarkan kehadiran mereka untuk mendapatkan akses masuk di laman web Toyota GAZOO Racing Malaysia di www.toyota.com.my/tgrmalaysia