Video Tular Merusuh, Dua Lelaki Ditahan

oleh Hamimah Hamid|
DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes insiden merusuh di hadapan sebuah restoran di Station 18, Ipoh yang tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lelaki terbabit yang berusia 23 dan 27 tahun ditahan di lokasi kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, kedua-duanya ditahan selepas polis mengesan satu hantaran dalam media sosial berkaitan pergaduhan yang berlaku di kawasan terbabit dan satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat pada pukul 11.51 malam, semalam.

datuk pahlawan mior faridalathrash wahid

Jelas beliau, siasatan mendapati insiden itu melibatkan seorang lelaki yang dituduh mencuri telefon bimbit.

“Ekoran tuduhan itu, telah berlaku kejadian kejar mengejar antara mangsa dan suspek sehingga kereta dipandu mangsa melanggar sebuah kenderaan lain sebelum berlaku rusuhan oleh sekumpulan individu termasuk pekerja penghantaran makanan.

“Akibat rusuhan itu, kenderaan mangsa dirosakkan dengan menggunakan kerusi dan kon plastik serta batu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Datuk Mior Faridalathras, berdasarkan siasatan, punca kejadian akibat salah faham dan kecurian telefon bimbit oleh mangsa yang tidak dapat dibuktikan.

“Ekoran kejadian itu, kita telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Kita sedang mengesan beberapa individu lain bagi membantu siasatan kes tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta tampil memberi keterangan,” katanya.

Terdahulu, beberapa video dan gambar kejadian itu tular dalam media sosial yang memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif dengan mengejar dan mengepung sebuah kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki.

Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah restoran itu juga menunjukkan orang ramai merosakkan kenderaan mangsa termasuk memecahkan cermin kereta.