Video: Penjelasan di sebalik empat ikon pada stereng Ferrari SF90 Stradale

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Memang tidak dapat dinafikan lagi, supercar baharu Ferrari SF90 Stradale merupakan sebuah jentera yang paling berteknologi tinggi hadir buat masa ini dari Maranello. 

Dan ia merupakan supercar pertama Ferrari yang hadir dengan ciri plug-in hybrid dan sekaligus menjadikannya sebuah supercar Ferrari yang paling berkuasa. 

Untuk mengawal kuasa 986 kuasa kuda (Ferrari gemar dengan angka 1,000 CV), ia didatangkan dengan empat mod pemanduan yang masing-masing digambarkan menerusi empat ikon pada stereng SF90 Stradale ini. 

Berikut merupakan penjelasan yang lebih teliti untuk setiap mod pemanduan yang dimaksudkan: 

 

1. Mod eD - pemanduan elektrik sepenuh masa

Sistem hibrid yang didatangkan pada Ferrari SF90 Stradale ini membolehkan ia bergerak di dalam mod elektrik semata-mata, tidak seperti Ferrari LaFerrari. 

Jadi, kuasa daripada bateri 7.9 kWh ini disalurkan kepada dua buah motor elektrik pada gandar hadapan, dan mampu memberikan jarak operasi sejauh 25 kilometer sebagai sebuah jentera pacuan roda hadapan.

2. Mod H - gandingan sistem hibrid dan enjin turbo berkembar 4.0 liter V8

Ia digambarkan dengan lambang H pada roda stereng, dan ciri ini akan membolehkan kedua-dua sistem hibrid dan enjin V8 berganding bahu menghasilkan kuasa yang disalurkan kepada kesemua roda. 

Di dalam mod H, ciri ini lebih mengutamakan kadar keberkesanan yang tinggi terutama di dalam pemanduan yang lebih serius. 

Namun, apabila sistem mengesan perubahan pemanduan yang lebih santai, sistem kawalan logik mampu mengubah daripada mod Hibrid kepada pemanduan elektrik sepenuhnya. 

3. Mod Performance 

Lambang bendera pengakhiran perlumbaan (checkered flag) ini akan memastikan sistem enjin pembakaran dalaman Ferrari SF90 Stradale ini kekal berfungsi sepanjang masa. 

Akan tetapi, ia juga turut memaksimakan kadar pengecasan pek bateri yang ada pada sistem hibrid jentera ini. 

4. Mod Qualify 

Lambang jam pengira masa ini merupakan mod pemanduan yang paling serius. 

Di sini, sistem komputer akan memberikan keutamaan supaya mencapai prestasi yang maksimum (986 kuasa kuda) terutama ketika di dalam litar. 
 


Walaubagaimanapun, di dalam video ini tidak dinyatakan bagaimana cara atau talaan yang diberikan bagi mencapai tahap kuasa maksimum yang boleh diekstrak dari kedua-dua sistem hibrid dan enjin V8 turbo berkembar itu. 

Sebagai makluman, Ferrari SF90 Stradale mempunyai enjin V8 turbo berkembar yang mampu menjana 769 kuasa kuda dan 800 Nm daya kilas. 

Dengan bantuan tiga buah motor elektrik berkembar, sistem ini mampu memberikan boost tambahan 217 kuasa kuda. 

Dan dengan 986 kuasa kuda daripada gandingan kedua-dua sistem ini, Ferrari SF90 Stradale mampu memecut sepantas 2.5 saat (0-100 km/j) dan kelajuan maksimum 340 km/j. 

Baca: Ferrari SF90 Stradale