Video: Mitsubishi raikan Pajero Final Edition dengan tiga pelumba Rali Dakar

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Walaupun Mitsubishi membuat keputusan untuk menamatkan riwayat Pajero dengan melancarkan Pajero Final Edition beberapa bulan yang lalu, namun jauh di sudut hati mereka masih tidak mahu melupakan jasa dan bakti model tersebut. 

Apatah lagi ia merupakan antara penyumbang kemenangan terbesar Mitsubishi (12 kemenangan) sepanjang 26 tahun dan sehingga kini masih belum dipecahkan oleh mana-mana pengeluar di acara Rali Dakar. 

 

 

Bagi memberikan penghormatan kepada model Pajero, Mitsubishi telah membuat sebuah rancangan "The Spirits of Pajero" ala-ala jejak kasih yang mengumpulkan tiga pelumba dari tiga era Pajero yang berbeza. 

Dalam video berdurasi 6 minit ini, Patrick Zaniroli, Hiroshi Masuoka dan Luc Alphand, ketiga-tiga pelumba ini ditemukan dan masing-masing mencoretkan pengalaman yang manis buat Mitsubishi di perlumbaan paling mencabar di dunia, Rali Dakar. 

 


Tahun 1985, Patrick Zaniroli memberikan kemenangan pertama buat Mitsubishi dengan jentera Pajero, mengalahkan kira-kira 400 kenderaan lain yang bertanding merentasi 11,000 km Padang Pasir Tenere. 

Dan pada ketika itu, hanya separuh daripada jentera yang bertanding berjaya melintasi garis penamat. 
 


Hiroshi Masuoka (juara Rali Dakar 2002 & 2003) pula memulakan karier sebagai pemandu uji Mitsubishi Pajero sejak generasi pertama lagi sebelum menjejakkan kaki ke Rali Dakar. 

Malah, tiap kali jentera yang dibangunkannya berjaya melintasi garis penamat, beliau berasa amat berbangga dan menyifatkannya sebagai melihat kejayaan anak sendiri di medan pertempuran Rali Dakar. 

 


Manakala Luc Alphand berjaya mengorak langkah yang serupa apabila memenangi Rali Paris-Dakar pada tahun 2006 di dalam jentera Pajero Evolution, dengan jarak sejauh 9,043 km sepanjang 16 hari dari Lisbon ke Senegal. 

Dengan pengenalan Pajero Final Edition, Mitsubishi Pajero kini merupakan sebuah lagi model ikonik dari jenama tiga permata tersebut selepas Mitsubishi Lancer Evolution yang telah ditamatkan produksinya di Jepun. 

Tips: Video di atas yang menggamit kenangan dan emosi ini diterbitkan dengan sari kata bahasa Jepun, dan anda perlu memilih subtitle/CC yang boleh menterjemahkan setiap kata-kata pelumba Pajero ini secara automatik ke bahasa Inggeris untuk lebih pemahaman.