VIDEO: Di sebalik tabir pembangunan AE86 Carbon Neutral Project

oleh Mohamad Hanif|
Dunia kini sedang beralih menuju ke arah neutral karbon. Tidak ketinggalan Toyota, walaupun pengeluar itu disifatkan degil dan lambat dalam menawarkan model sifar emisi kepada pelanggannya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun begitu, bekas presiden dan CEO Akio Toyoda berpendapat Toyota seharusnya menawarkan lebih banyak pilihan kepada para pelanggan mereka, tidak kira apa jua perubahan situasi semasa.

Disebabkan itu, Toyota pada awal tahun lalu tampil dengan sebuah projek restomod yang sangat menarik perhatian kebanyakan golongan petrolhead, iaitu AE86 Carbon Neutral Project.
 

AE86


Menurut pengurus besar divisyen pembangunan kenderaan GR, Tomoya Takahashi berkata, konsep utama projek ini adalah untuk mengaplikasikan teknologi sedia ada sebanyak mungkin dan tidak membangunkan teknologi baharu yang lebih rumit.

Kereta AE86 (Trueno dan Levin) dipilih kerana bekas CEO Toyota itu mempunyai visi untuk tidak mengenepikan golongan peminat dan pencinta tegar kereta-kereta lama.
 

AE86


Pengalaman Toyota di dalam perlumbaan Super Taikyu dengan menggunakan Corolla Sport berkuasa hidrogen dimanfaatkan sepenuhnya di dalam membangunkan enjin model Trueno H2 Concept, diikuti dengan komponen seperti tangki simpanan hidrogen yang disumberkan daripada model Toyota Mirai.

Sementara untuk AE86 BEV Concept (Levin), Toyota menggunakan kombinasi motor elektrik daripada Toyota Tundra, bateri Prius PHEV serta beberapa komponen yang berkaitan.
 

AE86


Biarpun trenkuasa telah berubah menjadi lebih moden, para jurutera Toyota tetap perlu memastikan AE86 BEV Concept ini menawarkan tahap keseimbangan berat yang ideal sama seperti model AE86 berenjin 4A-GE.

Prestasi kedua-dua jentera AE86 ini diuji sendiri oleh pemandu uji dan pelumba Toyota Gazoo Racing, Masahiro Sasaki.
 

H2


Selepas memandu uji AE86 H2 Concept, Sasaki berpendapat kereta tersebut mempunyai karakteristik pemanduan, bunyi dan gegaran yang hampir sama dengan AE86 berenjin 4A-GE dengan suapan bahan api petrol standard.

Bagi mereka yang tidak biasa, mungkin agak sukar untuk membezakan antara AE86 H2 Concept dengan model standard AE86 Trueno.

Beralih kepada AE86 BEV Concept, Sasaki mengakui pemanduan model Levin berkuasa elektrik itu nyata lebih berkuasa di mana daya kilas jauh melangkaui angka yang dihamburkan oleh enjin 4A-GE yang asal.
 

AE86


Disebabkan AE86 sangat terkenal dengan aksi-aksi drift, pelumba Toyota itu tidak melepaskan peluang untuk menguji sendiri pengendalian melakukan aksi pemanduan senget, dan nyata ia mampu menawarkan keseronokan pemanduan yang sukar dirasai pada mana-mana model EV moden.

Seperkara menarik yang harus anda tahu, walaupun dari luar tiada sebarang kedengaran bunyi enjin atau ekzos keluar daripada AE86 BEV Concept, namun di dalam kabin pemandu itu sendiri dapat menikmati alunan runut bunyi enjin 4A-GE artifisial yang terhasil.
 

BEV


Sasaki menyifatkan pengalaman beliau memandu di dalam AE86 BEV Concept adalah sama seperti memandu sebuah AE86 yang dilengkapi dengan peredam sports.

Anda boleh mengetahui kisah di sebalik tabir pembangunan AE86 Neutral Carbon Project menerusi video yang telah disediakan sari kata berbahasa Inggeris pada pautan dibawah: