Vespa GTS 300 HPE Super Tech dengan enjin baharu, skrin TFT berwarna - dari RM33,300

oleh Mohamad Hanif|
Didi Resources Sdn Bhd hari ini membawakan secara rasmi model Vespa terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Vespa GTS 300 HPE Super Tech selaku model paling premium dalam barisan GTS.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi penampilan, Vespa GTS 300 HPE Super Tech ini membawakan rekaan 'perisai' yang dikemaskini dengan motif sarang lebah, pelindung hon berwarna kuning, rim kemasan warna hitam berkilat, dan jahitan kontras pada pelana.

Rekaan pelana telah diberikan nafas baharu supaya menawarkan keselesaan kepada penunggang dan pembonceng, sementara ruang bawah pelana pula dikhususkan untuk memuatkan dua helmet demi-jet, serta port USB untuk pengecasan peranti pintar.

 


Lampu hadapan adalah jenis LED berbentuk bulat, diikuti dengan lampu nyalaan siang LED diikuti dengan lampu belakang dengan rekaan yang lebih moden.

Perubahan ketara yang dibawakan pada Vespa GTS 300 HPE Super Tech ini adalah pemasangan skrin TFT berwarna penuh bersaiz 4.3 inci yang menyokong sambungan kepada peranti pintar, selain memaparkan informasi penting seperti kelajuan, perbatuan, suhu, tangki bahan api, dan paparan kepada sistem hubungan VESPA MIA.

 


Aplikasi VESPA MIA boleh digunakan untuk menguruskan beberapa ciri seperti panggilan telefon, muzik, notifikasi media sosial serta mengenal pasti lokasi pusat servis yang berdekatan dengan hanya satu sentuhan sahaja.

Enjin yang dibawakan pada GTS 300 ini adalah enjin baharu 300 cc silinder tunggal sejukan cecair High Performance Engine (HPE) yang menghasilkan 23.5 hp dan 26 Nm, masing-masing dengan peningkatan sebanyak 12% dan 18%, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120 km/j.

 


Peningkatan prestasi enjin baharu ini disumbangkan oleh penggunaan kepala silinder baharu, sistem termodinamik yang ditambahbaik, kebuk pembakaran yang lebih efisien dan diameter injap yang ditambah.

Ia juga dikatakan mampu menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik dengan penggunaan pemancit bahan api multi-jet, tekanan pancitan bahan api yang dipertingkat, ECU generasi baharu serta palam pencucuh iridium yang lebih tahan lasak.

Untuk memastikan keselamatan tunggangan, Vespa GTS 300 HPE Super Tech ini dilengkapi dengan ABS dan ASR.

 


Seperti biasa, Vespa GTS 300 baharu ini turut ditawarkan dengan pelbagai jenis aksesori menarik seperti top box, rak barangan depan dan belakang, serta pemasangan windshield jenis jernih atau efek asap.

Boleh didapati dalam dua warna iaitu Gray Avio dan Nero Volcano, harga jualan Vespa GTS 300 HPE Super Tech bermula dari RM33,300.