VESC - konsep kereta selamat mendahului zaman

oleh Mohamad Hanif|
Pada ketika ini, anda melihat Volvo sebagai sebuah jenama premium dengan barisan penawaran kereta yang paling selamat di dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, harus diingat bahawa pencapaian tersebut tidak akan hadir dalam tempoh semalaman, malah Volvo sendiri berusaha keras sejak dari dahulu untuk memastikan kereta mereka selamat untuk digunakan atas jalan raya.

Semua ini tidak akan tercapai sekiranya Volvo tidak hadir dengan sebuah projek yang dinamakan sebagai Volvo Experimental Safety Car (VESC) pada tahun 1972.
 

VESC


Walaupun bersifat konsep, VESC menampilkan beberapa ciri keselamatan yang mendahului zaman, dan semua ini membawakan kepada penghasilan model Volvo 240 yang mula dijual pada tahun 1974 dan terjual sebanyak 2.9 juta unit dalam tempoh 19 tahun.

Inovasi yang dimuatkan pada VESC tidak semestinya ciri yang pertama di dunia, memandangkan konsep turus stereng boleh runtuh (collapsible steering column) telah pun wujud semenjak 1930-an dan digunakan dalam kereta produksi GM pada tahun 1967.
 

VESC


Namun, apa yang dibawakan pada VESC merupakan satu pendekatan ke arah kereta moden yang lebih selamat, seperti contoh beg udara untuk penumpang depan dan belakang, zon remuk yang mampu menyerap impak pelanggaran pada kelajuan 48 km/j-80 km/j, sangkar keselamatan terbina pada bumbung dan pintu, serta struktur cagak enjin yang mampu mengelakkan enjin daripada mencederakan penumpang ketika pelanggaran.

Selain daripada itu, VESC juga turut didatangkan dengan rekaan bampar yang mampu menyerap impak pelanggaran dan melindungi panel badan pada kelajuan sehingga 16 km/j, pengelap unit lampu, pengelap cermin belakang, brek anti-kunci, kawalan ketinggian automatik, sistem pemotongan bekalan bahan api automatik, serta tidak ketinggalan amaran akustik.
 

VESC


Tanpa VESC, ciri-ciri yang disebutkan di atas mungkin sekali tidak akan wujud pada kereta-kereta moden, di mana ada di antaranya kini menjadi ciri yang wajib dimuatkan pada kereta masa kini.

Semenjak mempatenkan tali pinggang keselamatan pada tahun 1959 yang percuma digunakan untuk semua pengeluar sehinggalah sekarang, Volvo masih lagi mengekalkan reputasinya sebagai sebuah pengeluar kereta yang selamat.

Mereka tidak pernah berniat untuk menghasilkan kereta pantas, akan tetapi komitmen mereka dalam menghasilkan sebuah mod pengangkutan yang mampu melindungi nyawa pelanggan mereka.
 

VESC


Siapa sangka setelah hampir setengah abad, Volvo kini menjadi satu penanda aras untuk sebuah kereta yang selamat, terima kasih kepada VESC.

Sumber: Hagerty