Vanda Dendrobium dari Singapura - bakal jadi hypercar EV paling pantas

oleh HEZERI SAMSURI|

Mungkin anda tidak percaya, tetapi Vanda Dedrobium bukanlah nama seorang model fesyen dari Chechnya. 

Ia adalah nama sebuah hypercar (lebih laju dari supercar) yang diberi atas nama sejenis bunga orkid yang tumbuh melata di Singapura.

Dan Vanda ialah dari nama Vanda Electrics, sebuah syarikat teknologi dari negara kepulauan itu.

Tahun lalu, Careta telah menulis akan Dendrobium ini dan kali ini ada sedikit perkembangan mengenai projek mega itu.

 

Ia dibina dengan bantuan pakar perunding dari Williams Advanced Engineering di UK, sebuah syarikat yang juga pakar dalam Formula 1.

Williams diminta untuk membantu membina dan melakukan kerja-kerja engineering untuk hypercar yang direka oleh Vanda Electrics itu.

Vanda Electrics ialah anak syarikat kepada sebuah gergasi di Singapura, Wong Fong Engineering. Wong Fong mendapat projek ketenteraan kerajaan Singapura dan juga pembikinan kren serta sebagainya.

 

Wong Fong dan Vanda, kedua-duanya tidak pernah membina sebuah kereta berskala besar. Paling hampir kepada projek automotif yang pernah Vanda lakukan ialah Motochimp, sebuah skuter elektrik yang mula dijual di Jepun tahun lalu.

Vanda juga akan mula menjual sebuah lori elektrik satu tan dan akan mula beroperasi tahun ini.

Di bawah ialah nombor-nombor yang membuatkan anda mengigau akan Dendrobium.

  • Pecutan 0 - 100 kmsj dalam masa 2.60 saat
  • Kelajuan maksimum ialah pada 322 kmsj
  • Berat kasar - 1,750 kg
  • Kuasa maksimum dari bateri - lebih dari 1,000 hp

Add new comment