Van putih tular cuba menculik tidak terlibat, kanak-kanak reka cerita diculik

oleh Hamimah Hamid|
VAN putih yang dikaitkan dengan kes cubaan culik di sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah, Lahat dekat Ipoh yang turut tular di media sosial bukan van yang terlibat dengan kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Ia sebenarnya adalah van membawa pekerja.
AION MREC Banner Campaign May 2024

“Bila ada kejadian-kejadian macam ni memang orang ramai akan panik bila ternampak van putih.

“Orang ramai ingat van putih dan terus ingat adalah suspek (mahu cuba menculik),” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, kes cubaan culik seorang murid perempuan yang didakwa berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah yang tular di media sosial adalah tidak benar dan hanya rekaan kanak-kanak berkenaan.

Katanya, perkara itu disahkan selepas hasil siasatan terperinci terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun itu bersama beberapa saksi.

Jelas beliau, lima saksi iaitu rakan sebaya, dua pengawal keselamatan dan pemandu van yang menghantar kanak-kanak itu juga telah dipanggil untuk siasatan.

Mohd Yusri berkata, kanaka-kanak itu terpengaruh dengan perkara tersebut dan mereka cerita kepada ibunya menyebabkan ibunya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya.

“Kita mendapati cerita dan laporan yang mengatakan cubaan diculik adalah tidak benar sama sekali.

"Kanak-kanak ini hanya mereka-reka cerita kepada ibunya kerana terpengaruh dengan kejadian di luar negara yang ditularkan di media sosial berkenaan kejadian kanak-kanak ditangkap, diculik dan dijual organ," katanya.

Katanya, polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan belum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak.

Semalam, media melaporkan Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Taman Pinji Mewah, di sini pada 23 September lalu.

Mohd Yusri dilaporkan berkata, polis menerima laporan mengenai cubaan melarikan murid di sekolah itu daripada ibu mangsa kira-kira jam 9.07 malam hari yang sama.

Terdahulu, tular gambar laporan polis dimuat naik oleh seorang lelaki mendakwa anak perempuan sulungnya hampir menjadi mangsa culik di hadapan SK Pengkalan Pinji Mewah pada Jumaat lalu.