Van Pelancong Thailand dilarang masuk Malaysia

oleh Firdaus Razani|
gambar dari Mekanika
Bagi mengelakkan industri bas ekspres negara terjejas, Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang untuk tidak membenarkan pengangkutan pelancong Thailand memasuki ke Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ada di antara pengusaha terbabit akan mengambil peluang membawa penumpang dalam negara selain membawa pelancong mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaiktaraf LTSIP, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.

Bagaimanapun Anthony memberitahu, tiada masalah bagi bas dari Thailand yang mahu memasuki negara ini melalui pakej yang disediakan, namun perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengakutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu untuk mendapatkan permit.

"Tiada had yang ditentukan untuk kemasukan bas tetapi syarikat bas terbabit perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti pakej pelancongan bilangan penumpang dan lokasi penginapan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan sudah memohon kelonggaran permit bas pelancong dari Thailand dengan Kementerian Pengangkutan untuk kemasukan kenderaan itu ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

 

SUMBER : Sinar Harian