Valentino Rossi bersara? Maaf, beliau kekal sehingga 2020!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Sebelum ini lagi sudah bertiup kencang khabar angin mengatakan bahawa ikon MotoGP, Valentino Rossi bakal menyambung lagi kontrak perlumbaan bersama Yamaha.

Pada 15 Mac, khabar angin telah menjadi nyata apabila Yamaha Motor Co., Ltd dengan sukacitanya mengumumkan ikatan perjanjian baharu selama dua tahun bersama Rossi untuk perlumbaan MotoGP musim 2019 dan 2020 dengan motosikal Yamaha YZR-M1.

Untuk rekod, Rossi atau the Doctor adalah juara sembilan kali perlumbaan motosikal dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kombinasi Rossi dengan motosikal YZR-M1 telah membuahkan begitu banyak pencapaian dan kejayaan di antaranya empat kali kejuaraan MotoGP.

Berikut ialah ringkasan fakta Rossi dengan Yamaha dalam perlumbaan dunia:  

  • Empat kali juara MotoGP
  • Pelumba Yamaha paling berjaya dalam sejarah
  • 56 juara perlumbaan
  • 43 naib juara perlumbaan
  • 35 tempat ketiga perlumbaan
  • 206 perlumbaan keseluruhan
  • Dalam 500 kemenangan Grand Prix yang diraih Yamaha, 11 peratus atau 55 kali disumbangkan oleh Rossi dan meletakkan beliau di ranking teratas

Walaupun gagal untuk menjadi juara MotoGP pada musim lalu, Rossi berjaya memenangi enam podium termasuk kemenangan yang hebat di GP Belanda setelah lama kemarau tempat pertama.

Pasukan Movistar Yamaha MotoGP yakin dengan kerjasama ini dan teruja untuk menjadi pencabar utama kejuaraan musim depan dan seterusnya.

Valentino Rossi

 

Berikut ialah komen Rossi sejurus ikatan kontrak terbaru ini. Harap maaf jika bahasa sedikit berpusing kerana ia diterjemah dari bahasa Inggeris ala Rossi.

"Apabila saya menandatangani kontrak sebelum ini bersama Yamaha pada Mac 2016, terlintas juga di fikiran sama ada ini adalah kontrak terakhir saya sebagai pelumba MotoGP. Dalam tempoh dua tahun itu, saya telah membuat keputusan untuk terus berlumba, menjadi seorang pelumba MotoGP dan menunggang M1 saya adalah suatu yang membuatkan saya gembira.

Dengan peluang untuk bekerja bersama pasukan saya seperti Silvano, Matteo dan kesemua mekanik saya termasuk jurutera Jepun iaitu Tsuji dan Tsuya serta mereka yang lain adalah satu yang menggembirakan dan saya berasa seronok.

Saya mahu berterima kasih kepada Yamaha dan secara khususnya Lin Jarvis dan Maio Meregalli di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya memandangkan cabaran ini begitu sukar, untuk menjadi kompetitif sehingga saya berusia 40 tahun!

Saya tahu ini adalah suatu yang sukar dan ia memerlukan banyak daya usaha dari saya sendiri dan jumlah latihan yang tinggi akan tetapi saya bersedia, saya tidak lemah dari segi motivasi dan sebab itu saya sanggup untuk berlumba lagi dalam tempoh dua tahun akan datang."

Valentino Rossi dan Maverick Viñales

Sekarang ini sudah jelas, Rossi akan berada di musim 2019 dan tahun depan. Satu bab telah selesai, timbul satu lagi perkara yang tidak kurang juga menarik.

Adakah Rossi bakal mempunyai pasukan sendiri selepas ini? Tech3 bakal bekerjasama dengan KTM musim depan dan tinggal slot yang kosong untuk pasukan Rossi, jika itu yang beliau mahu. 

MotoGP tidak pernah kurang dari tarikan sensasi dan mempesonakan!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
  "Antara mereka yang mengambil bahagian di litar itu hari ini adalah Valentino Rossi, dengan…
Berita Global
  Untuk itu kami ringkaskan rekod dan pencapaian beliau terutama sekali bersama Yamaha seperti di…
MotorGP
  Kata Rossi, janji yang dibuat kepada peminat bahawa pengumuman rasmi mengenai masa depannya akan…