Kerjasama itu dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoA) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Program kejuruteraan xEV Perodua-UTM
Menurut kenyataan UTM, kerjasama ini akan menyaksikan pelaksanaan program kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang dijangka menjadi pemangkin kepada fasa baharu pembangunan industri automotif negara.

Seramai antara 10 hingga 15 pelajar terbaik daripada program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) akan dipilih setiap tahun untuk menyertai program tersebut dalam tempoh lima tahun.
Latihan industri dan pensijilan antarabangsa
Pelajar terpilih akan mengikuti program selama satu setengah tahun bermula semester kedua tahun ketiga pengajian. Mereka juga akan menjalani latihan industri selama 10 minggu di Perodua.
Selain itu, pelajar berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa Tahap 3 daripada Institute of the Motor Industry (IMI), sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam industri automotif global.
Penyeliaan projek akhir bersama industri
Projek Tahun Akhir (FYP) pelajar akan diselia bersama oleh jurutera Perodua bagi memastikan hasil penyelidikan memenuhi standard industri sebenar.
Langkah ini dilihat penting dalam merapatkan jurang antara teori akademik dan keperluan praktikal industri, terutama dalam bidang kenderaan elektrik yang berkembang pesat.

Makmal khas dan teknologi simulasi
UTM turut memaklumkan bahawa makmal kejuruteraan xEV Perodua-UTM akan diwujudkan dengan kemudahan moden bagi menyokong pembelajaran dan penyelidikan.
Antara fokus utama termasuk integrasi kursus kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) ke dalam kurikulum, di samping akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware-in-the-Loop (HIL).

Pelaburan jangka panjang pembangunan bakat
Menurut Zainal Abidin, inisiatif ini bukan sekadar pemindahan teknologi, tetapi pelaburan jangka panjang dalam membangunkan jurutera berkemahiran tinggi untuk masa depan industri.
Tambah beliau, pelajar akan didedahkan kepada dinamika sebenar industri automotif melalui bimbingan terus daripada jurutera Perodua.
