Usia Suzuki Swift cecah 40 tahun, ini sejarah Swift termasuk Swift Sport!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Suzuki Cultus
Suzuki Cultus
Satu daripada model ikonik dari Jepun ialah Suzuki Swift. Dari generasi pertama sehingga sekarang, Swift masih kekal Swift walaupun berubah mengikut peredaran masa.

Swift bukan juara setempat dan telah diangkat sebagai model global pada 2004 dan sehingga kini terjual melebihi sembilan juta unit.

Di antara pasaran antarabangsa Swift ialah United Kingdom (UK) dan model terbaru, Swift Hybrid bakal tiba tidak lama lagi.

Sempena penawaran tersebut dan usia empat dekad, Suzuki menjejaki sejarah Swift dari generasi pertama.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

1983 - 1989: Suzuki Cultus generasi pertama / Swift

 

Suzuki Swift 40 tahun

 

Di negara kelahirannya, Swift bermula sebagai Cultus / SA310 dan nama Swift hanya digunakan pada awal 1985 apabila memasuki pasaran Eropah dan dilancar di UK.

Di Jepun, nama Swift diguna pada lewat 90-an. Cultus dilancarkan pada pameran Tokyo Motor Show ke-25 pada 1983 dan bersaing dengan Toyota Starlet dan Nissan Micra.

Swift merupakan model Suzuki pertama yang memasuki segmen kereta dengan saiz dan enjin lebih besar daripada model kereta mini (keicar) Fronte di Jepun.

Model asal digerakkan enjin 1.0 liter tiga silinder dan menariknya pegas daun pada suspensi belakang.

 

Suzuki Swift 40 tahun

 

Enjin 1.3 liter empat silinder dipasang kemudian dan meraih pujian media kerana kelancaran dan penggunaan bahan api yang baik.

Papan pemuka menggabungkan meter analog dan digital dengan paparan gear pilihan untuk model automatik tiga kelajuan.

Di UK, Swift ditawarkan di dalam gaya badan tiga dan lima pintu dan menariknya model 1.3 GTi tiga pintu.

1989 - 2003: Suzuki Swift generasi kedua

 

Suzuki Swift generasi kedua

 

Seperti biasa, Swift diperkenal terlebih dahulu di Jepun pada 1998 dan disusuli Eropah dengan pengenalan di Brussels, Belgium pada tahun yang sama.

Di Jepun, Suzuki masih mengekalkan nama Cultus termasuk beberapa pasaran lain. Swift ini paling lama dikeluarkan iaitu melebihi 13 tahun dan model UK dipasang di Hungary.

Jika model terdahulu berkotak dan bersegi, Swift baharu membawa gaya bujur dan menariknya mempunyai ukuran sama seperti generasi pertama.

Untuk model baharu Suzuki menambah baik kegunaan ruang dalaman dan bagasi. Keempat-empat sudut roda menggunakan suspensi bebas.

Suzuki menawarkan gaya badan tiga dan lima pintu dengan pilihan enjin 1.0 liter tiga silinder dan 1.3 liter empat silinder.

 

Suzuki Swift generasi kedua

 

Model 1.3 liter GTi tiga pintu mempunyai kuasa hampir 100 bhp, dilengkapi empat brek cakera dan berat tidak sampai 800 kilogram (kg).

Enjin GTi menggunakan aci sesondol atas kembar, blok enjin lebih kuat, pancarongga kemasukan udara aliran tinggi dan pemasaan pencucuhan kawalan elektronik.

Model terhad untuk UK ditawarkan dalam versi SKY dan Forest Green.

Swift mendapat sambutan baik di UK dan secara purata Suzuki GB menjual sekitar 5,000 buah setahun.

Model ini sudah menjadi langka dan sekitar 470 buah masih di dalam pendaftaran di sana.

2005 - 2010: Suzuki Swift antarabangsa

 

Suzuki Swift global generasi pertama

 

Swift terbaru menggunakan pendekatan revolusl dengan buah fikiran serta reka bentuk baharu yang turut digunakan pada model-model Suzuki seterusnya.

Model ini dilancar di UK pada Mei 2005 atau 18 bulan selepas model terdahulu ditamatkan. Model ini juga terkenal di kalangan pengguna tempatan.

Swift dikeluarkan di Hungary, Jepun dan India termasuk beberapa lokasi lain seperti Pekan, Pahang. 

 

Suzuki Swift global generasi pertama

 

Pembangunan model ini ditumpukan pada permintaan dan citarasa pasaran Eropah dari segi reka bentuk dan tingkah laku pemanduan.

Langkah pertama pasukan pereka ialah bertapak di Eropah dan seterusnya memahami fikiran pelanggan di benua itu termasuk mengambil ilham dari persekitarannya.

Tidak hairan mengapa pengguna tertawan dengan Swift ini. Para pereka lari daripada trend satu kotak kepada rekaan unik dengan bonet yang menonjol.

 

Suzuki Swift Sport 2009

 

Bukan sahaja reka bentuk, sejumlah kerja-kerja pembangunan dan penyempurnaan casis dibuat berdasarkan ujian di jalan raya dan litar merentasi benua Eropah.

Suzuki menawarkan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter empat silinder. Suzuki Swift Sport 1.6 liter tiga pintu diperkenal di UK pada Mei 2006. 

Model itu menghasilkan 125 bhp, dilengkapi penyerap hentak Monroe Sports dan membentuk reputasi yang baik di kalangan media dan pemilik sehingga sekarang. Setuju atau tidak?

2010 - 2017: Lebih besar dan tegar

 

Suzuki Swift global generasi kedua

 

Jika Swift sebelum ini mengambil pendekatan revolusi, Swift antarabangsa generasi kedua membawa gayaan evolusi dengan ciri-ciri yang anggun.

Suzuki menggunakan besi kekuatan tinggi secara meluas dan menjadikan kerangka kereta lebih ringan dan tegar selain lebih baik pada bahagian bawah.

Daya impak untuk pejalan kaki dan penumpang juga ditambah baik.

 

Suzuki Swift Sport 2012

 

Pengendalian juga lebih baik hasil daripada trek lebih lebar, rim lebih besar dan tayar profail rendah.

Saiz badan dibesarkan dengan panjang bertambah 90 milimeter (mm), jarak roda dianjak 50 mm dan 10 mm lebih tinggi.

Enjin 1.2 liter lebih jimat berbanding model sebelum ini selain pelepasan emisi lebih rendah.

Swift Sport 1.6 liter dengan kotak gear manual enam kelajuan diperkenal pada 2012 dan disusuli model lima pintu pada 2013.

2017 - 2023: Gaya terus moden, enjin hibrid

 

Suzuki Swift global generasi ketiga

 

Selepas diperkenal di Jepun pada Disember 2016, Suzuki membawa Swift ke Geneva Motor Show 2017.

Model UK dan Ireland dilancar pada Mei 2017 dengan pacuan dua roda (2WD0 dan pilihan empat roda Allgrip 4WD.

Model rupa baharu (facelift) dengan enjin baharu 1.2 liter hibrid diperkenal pada 2021. Berbeza daripada sebelum ini, Swift hanya ditawarkan dalam gaya badan lima pintu.

Reka bentuknya meneruskan gayaan moden yang dibawa pada generasi terdahulu.

 

Suzuki Swift Sport 2018

 

Sistem Hibrid 12V Swift terdiri daripada Penjana Penghidup atau ISG yang berfungsi sebagai kedua-dua motor penjana dan penghidup.

ISG digerakkan oleh tali sawat dan membantu enjin semasa mula dipandu dan memecut selain turut menjana elektrik melalui pembrekan regeneratif.

Swift Sport 1.4 liter dengan kotak gear manual enam kelajuan diperkenal pada Mei 2018 dan berbeza daripada pasaran tempatan, model Hibrid 48V berada di sana pada tahun 2020.

2024: Swift terbaru, reka bentuk unik

Suzuki Swift global generasi keempat

Swift antarabangsa generasi keempat sudah pun dilancar di Jepun dan UK. Reka bentuk kali ini nampak berbeza dan konservatif.

Perhatikan garis bahu yang bersambung dan bentuk bonet unik.

Model baharu ini menggunakan nadi 1.2 liter tiga silinder hibrid ringkas dengan kotak gear manual dan automatik.

Selepas Jepun dan UK, adakah Swift terbaru ini menyusul ke pasaran tempatan?

Belum ada berita dan sejak model antarabangsa pertama, Swift tidak pernah ketinggalan untuk ditawarkan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Suzuki Swift global generasi keempat

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Antara model yang dimaksudkan termasuklah Suzuki Ertiga (Toyota Rumion), Suzuki Brezza (Toyota…
Berita Global
Daripada jumlah tersebut, terdapat tiga model pameran yang bakal mencuri tumpuan umum. Salah satu…
Berita Global
Tidak banyak perubahan yang dibawakan, di mana Suzuki Swift 2024 ini menampilkan rupa paras yang…