Ura-ura: Toyota bakal hadir dengan GR Corolla wagon?

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala gambar teaser mahupun model ujian GR Corolla yang diperkatakan sebelum ini masih lagi belum memunculkan diri, timbul pula satu khabar yang mendakwa Toyota bakal memperkenalkan GR Corolla dalam varian station wagon!

Menurut laporan daripada media Jepun BestCarweb, selain daripada model hot hatch GR Corolla akan diperkenalkan seawal September 2021, Toyota juga akan melancarkan versi wagon berprestasi tinggi bagi memberikan saingan kepada model VW Golf R Variant yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Model Corolla dengan lencana Touring Sports (versi wagon) sebenarnya sudah pun lama berada di sesetengah pasaran (terutama Eropah), dan Toyota ada menawarkan versi GR Sport tanpa sebarang peningkatan kuasa.

 

 

Laporan itu turut mendakwa GR Corolla hatchback dan wagon bakal memiliki persamaan dari segi trenkuasa, iaitu enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang menghasilkan 268 kuasa kuda dan daya kilas 370 Nm.

Sistem pacuan semua roda GR-Four dan transmisi manual enam nisbah kelajuan juga akan turut ditawarkan pada kedua-dua hatchback dan wagon GR Corolla itu.

Mac tahun lalu, Toyota telah menfailkan pendaftaran tanda dagang "GR Corolla" di Australia, dan kehadiran hot hatch GR itu turut disahkan sendiri oleh Toyota Amerika Utara menerusi hantaran di media sosial.

Sementara Toyota South Africa Motors pula dikatakan 'berminat' untuk menambah sebuah lagi varian prestasi tinggi GR Corolla, namun tidak menyebut butiran lanjut mengenai langkah tersebut.

 


Adakah Toyota GR Corolla wagon bakal menjadi sebuah kenyataaan?

Berita Berkenaan

Berita Global
Sudah pasti para peminat Gazoo Racing tertunggu-tunggu apakah yang bakal ditawarkan oleh jenama…
Berita Global
Terbaharu, hot hatch Corolla tersebut kini mendapat versi yang dikenali sebagai Morizo Edition, dan…
Berita Global
Dengan angka produksi yang agak terhad untuk tahun pertama (6,500 unit sahaja), GR Corolla juga…