Ini kerana berdasarkan laporan daripada laman Drive di mana unit ujian SUV kecil dengan kehadiran tambahan dua pintu di bahagian sisi dilihat sedang diuji di atas jalan raya baru-baru ini.
Berbanding Jimny tiga pintu, model Jimny versi lima pintu dilapor akan menampilkan tambahan jarak antara roda sepanjang 300 mm, menjadikan dimensi bertambah kepada 2,550 mm.
Jika diperhatikan daripada jarak dekat, unit ujian Jimny baharu ini mempunyai tambahan dua pemegang pintu yang berjaya disembunyikan dengan baik di sebalik pelekat samaran yang digunakan.
Menurut laporan Drive lagi, unit ujian Jimny ini tidak langsung menghasilkan sebarang bunyi enjin - berkemungkinan besar Suzuki sedang menguji trenkuasa hibrid pada model SUV ini.
Beberapa laporan dari media luar negara turut mencadangkan Suzuki Jimny bakal menampilkan sistem hibrid ringan 48 voltan, atau trenkuasa hibrid penuh yang diperoleh daripada Suzuki Vitara spesifikasi Eropah.
Sistem hibrid penuh itu menggandingkan enjin 1.5 liter (114 hp) yang dipadankan dengan motor elektrik 33.5 hp, serta pek bateri yang cukup besar untuk membolehkan kenderaan dipandu menggunakan tenaga elektrik sepenuh masa pada kelajuan rendah.
Suzuki Jimny versi lima pintu ini mungkin akan muncul secara rasmi pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun 2024 di mana pada ketika itu Suzuki Jimny bakal mendapat kemaskini pertengahan kitaran (facelift).
Sumber: Drive