Namun jenama Holden akan terus kekal diingati kerana menghasilkan model ute yang berkuasa, dan salah satu unit yang dimaksudkan itu kini sedang mencari pemilik baharu.
Model HSV GTSR Maloo 2017 merupakan versi ute yang paling berkuasa yang menggunakan asas daripada Commodore SS, didatangkan dengan nadi bentangan V8 LSA 6.2 liter dengan pengecas lampau yang berupaya menghasilkan 583 hp dan 740 Nm, transmisi manual dan sistem pacuan roda belakang.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, Holden Special Vehicle (HSV) hanya menghasilkan sebanyak 600 unit sahaja, dan unit yang dipamerkan ini membawakan angka 600 sekaligus menjadikannya unit terakhir yang harus dimiliki (oleh mereka yang menggemarinya).
Semenjak Holden menutup operasinya di Australia, harga jualan model-model HSV naik mendadak, dan unit yang ke-600 ini pernah sekali disenaraikan dengan harga mencecah AU$899,998 (RM2.85 juta)!
Menurut pengedar yang bertanggungjawab menjual unit ini, HSV GTSR Maloo 2017 ini memiliki kondisi yang cemerlang, dan hanya memiliki jarak perbatuan 151 km sahaja.
Sumber: Gardner Auto