Dengan jualan 6,681 unit Toyota dan 86 unit Lexus, UMWT yakin mampu mencapai sasaran pertengahan tahun biarpun dengan tempoh operasi yang singkat sepanjang April 2023.
Menurut Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata, "kami kekal yakin dengan keupayaan kami untuk mencapai pertumbuhan tahun-ke-tahun yang kuat.
Jelasnya lagi, ia juga disumbangkan oleh respons yang memberangsangkan terhadap model yang baharu dilancarkan pada suku pertama tahun ini, terutama Toyota Vios serba baharu.

Beliau juga turut mengulangi kenyataan berhubung isu keselamatan dan kualiti pada Toyota Vios 2023 itu.
"Kami ingin memberi jaminan bahawa model Toyota Vios serba baharu itu mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi soal kualiti kenderaan. Keselamatan pelanggan dan kenderaan akan sentiasa menjadi keutamaan kami.
Sementara itu, UMWT turut mengumumkan dua acara yang bakal berlangsung pada tahun ini bagi mengukuhkan kehadiran jenama GAZOO Racing di Malaysia.

Bermula 3-4 Jun 2023, perlumbaan kedua Toyota GAZOO Racing Festival musim keenam akan diteruskan, diikuti dengan cabaran perlumbaan simulasi Toyota GAZOO Racing GT Cup yang kini memasuki tahun keenam.
Mendahului kejuaraan pada tahun ini, UMWT akan memperkenalkan GR GT Cup Campus Tour bagi memberikan peluang kepada graduan universiti dan kolej untuk merasai sendiri pengalaman berlumba menggunakan simulasi.
Jelajah ini juga bertujuan untuk mengenalpasti bakat berpotensi untuk bertanding di dalam kejuaraan pada tahun ini.