UMW Aerospace serah selongsong kipas pertama untuk enjin Rolls-Royce Trent 7000

oleh Mohamad Hanif|
UMW Aerospace Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW, hari ini menyerahkan selongsong kipas yang pertama bagi enjin Rolls-Royce Trent 7000.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selongsong kipas itu akan dihantar ke pusat pemasangan dan ujian enjin Rolls-Royce di Seletar Aerospace Park di Singapura. Enjin Trent 7000 ini dipasangkan dalam pesawat Airbus A330neo.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad Azmin Che Yusoff berkata, “Kami bangga dengan pencapaian UMW Aerospace dan penyerahan ini menandakan satu lagi kejayaan penting dalam sejarah Kumpulan UMW sebagai konglomerat dengan teras kejuruteraan yang kuat.

"Dalam jangka masa yang singkat, UMW Aerospace telah berkembang menjadi pembekal komponen aeroangkasa pilihan dengan rekod yang kukuh dalam rantaian bekalan industri sejagat. Kami juga merasa bangga diberi peranan dalam rancangan Malaysia untuk mengukuhkan industri aeroangkasa negara, seperti yang dicadangkan oleh Pelan Pembangunan Aeroangkasa Nasional 2016-2030.”

Azmin Che Yusoff menekankan lagi, "Penglibatan syarikat dalam industri aeroangkasa juga merupakan sebahagian daripada sumbangan kami ke arah mewujudkan tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi - 97% tenaga kerja di UMW Aerospace terdiri daripada rakyat Malaysia."
 


UMW Aerospace menandatangani kontrak 25 + 5 tahun sebagai pembekal Tahap 1 dari Rolls-Royce Plc untuk membuat dan memasang selongsong kipas untuk enjin Trent 1000 dan Trent 7000 pada bulan Ogos 2015.

Sehubungan dengan itu, Kumpulan UMW melaburkan RM750 juta untuk mendirikan kilang pembuatan komponen aeroangkasa di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW di Serendah. UMW Aerospace berjaya menyerahkan selongsong kipas yang pertama untuk enjin Trent 1000 pada bulan November 2017 manakala hari ini pula adalah untuk enjin Trent 7000.

Keselamatan adalah keutamaan penting bagi industri aeroangkasa. UMW Aerospace mencapai satu lagi kejayaan pada 9 September 2020, apabila mencapai standard keselamatan luar biasa iaitu 1,500 hari tanpa kemalangan industri [atau "Zero LTI (Lost-Time-Injury)"].

Azmin Che Yusoff menambah, "Walaupun dalam keadaan perniagaan yang mencabar, kami tetap teguh dalam mencapai matlamat untuk membina kemampuan dan kecekapan kami dalam industri aeroangkasa, dibuktikan dengan dua tonggak kejayaan di atas. Walaupun Kumpulan menjangkakan sub-segmen Aeroangkasa akan terkesan berikutan penularan Covid-19, namun ia disokong oleh pesanan selongsong kipas yang telah diterima sepanjang tahun ini."

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,…