Ukraine Bakal Terima 150 Jet Pejuang Saab Gripen Dari Sweden

oleh Qalif Latif|
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson telah menandatangani satu perjanjian pertahanan yang membuka jalan untuk Ukraine memperoleh antara 100 hingga 150 buah jet pejuang pelbagai peranan Saab Gripen buatan Sweden.

GRIPEN

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di fasiliti Saab di Linköping, di mana kedua-dua pemimpin tampil bersama di hadapan sebuah pesawat Gripen E. Menurut kenyataan bersama, sebahagian daripada perjanjian itu melibatkan hasrat Ukraine untuk memodenkan dan memperkukuh angkatan udara mereka dengan pesawat Saab Gripen, sekali gus menjadikan ia pesanan eksport terbesar dalam sejarah Sweden.

GRIPEN

Jika rancangan ini direalisasikan sepenuhnya, Tentera Udara Ukraine akan mengoperasikan jumlah pesawat Gripen yang hampir menyamai kekuatan Tentera Udara Sweden sendiri.

Walaupun belum ada keputusan muktamad, Perdana Menteri Kristersson menjangkakan tempoh sekitar tiga tahun diperlukan untuk penghantaran pesawat baharu yang dibina dari awal. Namun, Zelenskyy berharap penghantaran dapat dimulakan seawal tahun 2026 memandangkan keadaan genting di negaranya, yang berkemungkinan melibatkan pemindahan pesawat Gripen C/D sedia ada terlebih dahulu sebelum versi baharu Gripen E/F diterima.

GRIPEN

Untuk rekod, juruterbang Ukraine telah pun menjalani sesi latihan dan ujian penerbangan menggunakan pesawat Gripen di Sweden sejak tahun 2023, satu langkah awal yang memperlihatkan kesediaan Ukraine untuk mengoperasikan jet tempur canggih Eropah tersebut.

Dengan perkembangan ini, Ukraine dijangka bakal menjadi antara pengendali terbesar jet Gripen di dunia, sekaligus memperkukuh hubungan pertahanan antara Stockholm dan Kyiv di tengah-tengah konflik berterusan dengan Rusia.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Semenjak Januari 2022, kereta jenama China mempunyai 9.6 % bahagian dalam pasaran Rusia. Angka…
Berita Global
Menurut laporan CBS News, wakil jurucakap memberitahu CBS MoneyWatch dalam satu emel yang berbunyi…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…