UK hadapi krisis bekalan petrol, pengguna buat pembelian panik

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan United Kingdom (UK) bersedia untuk melonggarkan peraturan visa bagi menarik lebih ramai pemandu lori berikutan ia kini berdepan masalah kekurangan bekalan bahan api.

Kekurangan pemandu lori tangki menyebabkan barisan panjang di stesen minyak beberapa hari kebelakangan ini kerana orang awam melakukan pembelian panik selepas beberapa stesen ditutup akibat kurang penghantaran.

Sehingga 5,000 visa sementara akan dikeluarkan di bawah skim jangka pendek, walaupun jumlah kekurangan pemandu kenderaan berat mencecah 100,000 orang.

Langkah itu disifatkan sebagai pusingan U oleh Perdana Menteri, Boris Johnson di mana kerajaannya mengetatkan peraturan imigresen selepas Brexit dan berulang kali menyatakan pendirian Britain untuk mengakhiri kebergantungan kepada pekerja asing.

Johnson berdepan tekanan dan diminta segera bertindak selepas gabungan pandemik dan Brexit menyebabkan masalah kekurangan penghantaran bekalan bahan api dan peningkatan harga tenaga.

Selain penghantaran bahan api, kekurangan pemandu lori turut menjejaskan penghantaran makanan dan barangan lain.
 

Petrol


Di saat barisan panjang kereta menanti untuk mengisi bahan api khususnya di tenggara England, pejabat Johnson semalam mengesahkan bahawa kerajaan sedang 'melihat langkah sementara untuk mengelak masalah'.

Jurucakap Downing Street berkata, langkah berkenaan sangat terhad dan menekankan bahawa negara mempunyai bekalan bahan api mencukupi dan tiada kekurangan bekalan berlaku.

Mike Davey, 56, berkata, dia menanti lebih setengah jam untuk mengisi petrol yang dikendalikan Tesco di Kent.

"Saya hanya mahu mengisi petrol untuk ke tempat kerja. Ini sangat mengarut.

"Mungkin mereka perlu menggunakan pemandu tentera," katanya.

Terdapat cadangan menyebut untuk menggunakan tentera bagi membantu proses penghantaran petrol.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
  Ketiadaan sistem pengangkutan awam yang cekap juga mendorong munculnya budaya pemilikan kereta…
Berita Global
  Mizan berkata, langkah dan penyelesaian efektif diperlukan memandangkan ia bukan sahaja…
Informasi
  Menurut Petronas, waran tangkap tersebut berkaitan dakwaan kesatuan perdagangan yang dibuat…