Menurut laporan dari The Times, struktur lesen baharu itu akan melarang pemandu baharu berumur bawah 25 tahun daripada membawa penumpang yang juga berumur di bawah 25 tahun dalam tempoh enam bulan atau tahun pertama selepas mendapat lesen.
Perubahan itu dilapor bakal dipertimbangkan oleh menteri jalan raya UK, Richard Holden pada 16 Mei, dimana perundangan terkini meletakkan pemandu baharu dalam tempoh percubaan dua tahun dengan maksimum enam mata penalti.
Punca tercetusnya idea bagi perubahan tersebut apabila kes melibatkan pemandu muda terlibat dalam kemalangan meningkat sehingga ada yang menyebabkan kematian.
Idea perubahan perundangan itu diusulkan oleh Sharron Huddleston, 52, dimana anak perempuannya Caitlin, 18, terbunuh dalam kemalangan kereta pada 2017 dengan rakannya Skye Mitchell, 18, yang turut meninggal dunia.
Idea bagi struktur lesen baharu itu sebelum ini pernah dipertimbangkan oleh kerajaan UK melalui bekas perdana menteri, Theresa May tetapi tidak menjadi kenyataan disebabkan beberapa faktor.
Cadangan Huddleston pada tahun 2020 mengesyorkan tempoh pembelajaran minimum 12 bulan dengan sistem buku log sebagai bukti.
Dimana ia membuktikan keupayaan pemandu untuk memandu dalam gelap dan dalam keadaan buruk, seperti hujan, kabus dan ais, serta keupayaan mereka di jalan raya pinggir bandar dan lebuh raya.
Berdasarkan statistik rasmi, orang yang berumur 17-29 tahun menyumbang 30% daripada kemalangan jalan raya dan 26% daripada kematian jalan raya pada tahun berakhir Jun 2022.