Ujian teori lesen PSV, GDL dimansuhkan - Anthony Loke

oleh Mohamad Hanif|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan mengumumkan pemansuhan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) berkuat kuasa serta-merta.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Beliau berkata, bagaimanapun pemohon masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.

"Ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional terdiri daripada kategori PSV dan GDL untuk memudahkan pemohon.

"Apa yang kita tekankan adalah mereka mengambil kelas tetapi tidak diujikan secara teori. Ini sesuatu yang baharu dalam sistem perlesenan kita di mana ia akan memudahcarakan pemohon.

"Saya terima banyak keluhan daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) dan pemandu e-hailing kerana mereka terpaksa menunggu lama untuk mengambil ujian.

"Sekarang kita kecualikan ujian teori, hanya ambil kelas PSV, itupun boleh buat secara dalam talian... dari rumah pun boleh ambil.

"Jadi apabila mereka siap kelas teori, mereka akan diberi lesen PSV secara digital," katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini, pada Isnin.

Namun Anthony Loke berkata, calon bagi kategori lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi, masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat Lesen Vokasional.

"Tiada lagi ujian teori, apa yang penting ialah cara mereka memandu, kita nak uji praktikal mereka," ujarnya.

Selaras dengan hasrat pendigitalan Kementerian Pengangkutan, beliau berkata, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara atas talian, sama ada menerusi platform disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan yang telah dikawal selia oleh JPJ.

Tempoh masa kelas teori sedia ada dikekalkan, katanya.

Menurutnya, pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan, hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya.

"Pihak JPJ akan menetapkan syarat-syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform atas talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon.

"Data-data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan Lesen Vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ," jelasnya.

Beliau memaklumkan, silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing atau teksi akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan mendapatkan input daripada pihak industri agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Katanya, penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

Sumber: Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 942 perserta program itu, menerima lesen pada satu maljis…
Berita Domestik
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menjawab soalan di sidang…
Berita Domestik
APAD juga mengumumkan permohonan Lesen Operator Sementara untuk perkhidmatan bas ekspress sempena…