Ubah suai Kelisa jadi Daihatsu, pemilik disaman

oleh SALINA JALIL|
Tindakan seorang lelaki mengubah suai identiti kereta Perodua Kelisa kepada Daihatsu mengundang padah apabila dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Sultan Idris Shah di sini pada Rabu.


Notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berusia 30-an itu untuk tindakan selanjutnya.

 

Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, sebuah kereta Perodua Myvi turut disita kerana gagal memperbaharui cukai jalan sejak dua tahun lalu.


Operasi bersepadu melibatkan 87 pegawai dan anggota termasuk polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak.

 

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 312 kenderaan diperiksa dalam tempoh dua jam dengan 121 kenderaan telah diambil tindakan membabitkan pelbagai kesalahan.

 

"Operasi ini dijalankan dengan menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

 

"Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap," katanya kepada pemberita.

 

Menurutnya, sebanyak 205 notis telah dikeluarkan dengan notis P22 iaitu notis arah periksa mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 142 notis.


Mohammad Yusoff menunjukkan salah sebuah kenderaan yang ditahan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.



"Selain itu, sebanyak 23 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan dan 40 notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan.

 

"Berdasarkan statistik, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 32,658 notis saman sehingga Mei lalu berbanding tahun 2021 yang mencatatkan sebanyak 46,586 iaitu pengurangan sebanyak 28.3 peratus. Pengurangan ini disebabkan program advokasi yang dilakukan sejak awal tahun," katanya.

 

Mohammad Yusoff berkata, tiga individu ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK.

 

"Polis turut mengeluarkan 10 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu manakala imigresen telah memeriksa seorang individu namun, tiada tangkapan dilakukan.

 

"Justeru, pelaksanaan penguatkuasaan ini akan terus dilaksanakan secara berterusan untuk memantau atau menguatkuasakan lagi peraturan yang sedia ada," katanya.

 

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemegang empat jenis Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk memperbaharui lesen masing-masing berikutan tempoh moratorium berakhir 30 Jun ini.

 

"Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) boleh diperbaharui di JPJ, MyEG atau Pejabat Pos.

 

"Tiada alasan lagi untuk mereka tidak memperbaharui dalam tempoh lebih kurang dua minggu ini," katanya.

 

 

Sinar Harian

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Saman dikeluarkan di bawah Rule 10 LN 166/59 iaitu kesalahan lalai mengawal pergerakan…
Berita Domestik
Difahamkan, lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu kenderaan jenis Audi kira-…
Berita Domestik
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki berusia dalam…