Twisted Automotive lancar pakej talaan untuk Suzuki Jimny, dari RM278k di UK

oleh Mohamad Hanif|
Twisted Automotive yang terkenal dengan sejarah selama 21 tahun menjalankan projek modifikasi menggunakan Land Rover Defender akhirnya ‘berpaling tadah’ dan mencuba sesuatu yang baharu – kali ini menggunakan asas SUV off-road cilik Suzuki Jimny.

Projek yang dinamakan sebagai “Little Twisted” itu tampil dengan dua versi yang berbeza, namun secara standard pemilik bakal mendapat sistem suspensi yang telah ditinggikan serta rim aloi aftermarket.

Versi pertama yang lebih ringkas didatangkan dengan warna badan kuning berjalur hitam, sementara versi kedua pula berwarna perak yang diserikan dengan pelekat berwarna kelabu, serta padanan aksesori seperti jeriji mengikut warna badan, fender kelabu dan rak bumbung daripada pakar off-road Front Runner.

Perincian penuh hanya akan diumumkan kelak pada tahun ini.
 

jimny


Namun menurut CEO Twisted, mereka menjanjikan Jimny talaan firma tersebut dengan pengendalian yang lebih baik, serta pengedaran kuasa yang lebih cekap terima kasih kepada pakej yang ditawarkan.

Selain itu, terdapat juga pakej penebat bunyi, naik taraf antara muka sistem media dan audio, serta penawaran trim kabin yang tersendiri yang mampu menenggelamkan kelemahan yang ada pada Jimny standard.

Untuk pasaran Eropah, Suzuki Jimny LCV hanya ditawarkan dengan nadi 1.5 liter NA yang dipadankan dengan transmisi manual dan sistem pacuan 4WD AllGrip Pro.

Twisted Automotive telah membuka slot tempahan dalam unit yang agak terhad, dengan harga bermula di bawah £50,000 (RM278,443) tidak termasuk cukai.

Firma talaan itu turut menawarkan rangkaian aksesori yang meluas kepada para pemilik Jimny yang mahu menaiktaraf SUV cilik mereka.