Turunkan duti eksais kereta: Realistik atau khazanah alam mistik?

oleh Mohamad Hanif|

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata kerajaan akan mengumumkan pengurangan duti eksais yang dikenakan ke atas kenderaan. 

Kesan daripada pengurangan duti eksais itu dijangka akan ditampung oleh peningkatan jualan kenderaan baharu serta komponen kenderaan. 

Selain daripada nilai 10 peratus yang dikenakan oleh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), setiap kenderaan turut dikenakan duti eksais dan duti import. 


 


Duti eksais bermula dari 60 sehingga 105 peratus dikira berdasarkan jenis kenderaan dan kapasiti enjin, manakala duti import pula mampu mencecah sehingga 30 peratus bergantung kepada negara asal kenderaan tersebut. 

Kadar cukai yang tinggi ini antara poin yang selalu dipersalahkan kerana menyebabkan harga jualan kereta yang tinggi di Malaysia. 

Jadi, pengumuman yang dibuat oleh Dr. Ong - walaupun tiada sebarang butiran lanjut - menimbulkan kesangsian di kalangan para pembeli kereta, perlukah mereka membeli kereta sekarang atau menunggu harga jatuh?
 

Berapa banyak kadar kebergantungan kerajaan kepada cukai kereta? 

Usah terburu-buru untuk menunggu harga kereta jatuh mendadak akibat pengumuman ini, kerana kerajaan Malaysia sebenarnya sangat bergantung harap kepada cukai yang dikenakan ke atas kenderaan. 

Sehingga mereka tampil dengan pengiraan yang kukuh untuk menimbal kembali kekurangan akibat pemansuhan duti eksais ini, ia hanya akan dikira sebagai cakap-cakap kosong dan tindakan populis bagi sesetengah pihak. 

Suka untuk diingatkan, ini merupakan pihak yang sama memberitahu anda bahawa hasil perbendaharaan negara mengalami kekurangan akibat salah urus tadbir yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu, dan prioriti utama mereka adalah untuk menstabilkan kembali kewangan negara. 

Jadi, untuk mengharapkan kerajaan yang sama untuk memansuhkan cukai yang berkaitan adalah bercanggah sama sekali. 
 


Sebanyak 13 peratus daripada jangkaan perolehan kerajaan sebanyak RM314.5 bilion untuk tahun 2019 adalah bersumberkan daripada cukai tidak langsung (termasuk duti eksais dan duti import). 

Daripada kategori ini, lebih daripada 15 peratus (RM6.3 bilion) disumbangkan oleh sektor automotif, jauh melebihi sektor tembakau dan alkohol (RM2.5 bilion). 

Cukai yang dikenakan ke atas tembakau dan alkohol sudah pun tersedia tinggi, dan sebarang peningkatan selanjutnya bakal dikira tidak produktif.

Malah, ruang perbezaan harga yang tercipta hanya akan meningkatkan kadar aktiviti penyeludupan barangan tersebut, sekaligus meningkatkan kos pula untuk membanteras aktiviti tersebut.
 

Berapa murah pula harga kereta yang murah?


Salah satu cara mudah untuk para pembeli menilai ialah dengan melihat perbezaan harga di Semenanjung Malaysia dan kawasan bebas cukai di Langkawi. 

Kita ambil contoh kereta paling popular dibeli oleh golongan pekerja di Malaysia - Perodua Myvi dan Honda City - perbezaan harga antara di Semenanjung dan Langkawi tidak pun melebihi RM10,000. 

Perlu diingatkan perbezaan ini juga disebabkan oleh pelepasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), jadi perbezaan itu menjadi kurang jika kita melihat kepada kadar duti eksais semata-mata. 

Tambahan pula kebanyakan pengeluar kenderaan menerusi kaedah pemasangan tempatan (CKD) hanya membayar sedikit atau langsung tiada duti eksais dikenakan oleh kerana mereka boleh menuntut rebat duti eksais berdasarkan amaun kandungan komponen tempatan yang digunakan dan pelaburan yang dibuat.

Anda boleh lihat perbezaan harga bagi ketiga-tiga model yang berbeza menerusi jadual di bawah.
 


Merujuk kepada Perodua Myvi yang tinggi kandungan tempatannya (lebih 90 peratus), perbezaan harga hanyalah sekitar 7 peratus sahaja, manakala Honda City pula mencatatkan perbezaan yang lebih besar, iaitu 14 peratus.

Manakala jika kita mengambil contoh Mercedes-Benz C200 CKD yang kurang kandungan komponen tempatan, ia mencatatkan perbezaan harga yang lebih ketara, 42 peratus - RM259,888 berbanding harga RM183,176 di Langkawi. 

Antara poin utama yang perlu diperhatikan ialah tidak ada satu pun daripada ketiga-tiga model ini membayar duti eksais minimum 60 peratus, terima kasih kepada insentif yang tersedia. 

Jadi, berapa murahkah harga kereta akan menjadi murah sekiranya duti eksais dimansuhkan? 

Sudah pasti kerajaan tidak akan keterlaluan untuk memansuhkannya secara total. 

Dengan atau tanpa duti eksais, harga jualan pasaran massa akan masih dianggap mahal oleh kebanyakan orang. 

Isu yang perlu diberikan perhatian adalah kadar kenaikan gaji yang masih statik - adakalanya berpunca daripada kadar produktiviti yang rendah dan skil kemahiran yang terhad - sehinggalah kepada faktor lain seperti mata wang Ringgit yang lemah. 

 

Semua mahu kereta murah, dan nilai jualan semula yang tinggi!


Pengguna perlu sedar dan faham bahawa pengurangan harga kereta baharu akan menyebabkan penurunan yang lebih ketara kepada nilai jualan semula (resale value).

Ini akan memberikan kesan yang serius kepada mereka yang membuat pinjaman pembiayaan kenderaan dengan margin maksimum 90 peratus dan tempoh sehingga sembilan tahun. 

Mungkin ada yang berpendapat, ada baiknya untuk mengorbankan kesakitan jangka pendek (pengurangan nilai jualan semula) adalah perlu untuk menikmati harga kereta yang lebih murah untuk jangka masa yang panjang. 

Namun, tanpa penilaian yang teliti, keputusan untuk memansuhkan duti eksais ini bakal menyebabkan bukan sahaja kerugian yang lebih banyak dan tiada keuntungan yang bakal dikecapi. 

Seperti yang disebutkan di atas, duti eksais ini hanya menyebabkan perbezaan yang terlalu kecil kepada kenderaan kelas permulaan (entry-level) - seperti Myvi, Axia, City dan Vios - yang merangkumi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan. 
 


Sebarang langkah untuk mengurangkan duti eksais hanya akan dinikmati oleh jenama-jenama yang lebih premium oleh kerana hanya mereka yang masih meneruskan bayaran duti eksais yang signifikan - sekaligus memberikan ruang yang lebih kepada penurunan harga jualan kenderaan. 

Manakala bagi kenderaan pemasangan tempatan yang tinggi kandungan tempatan - yang mampu dibeli oleh golongan kebanyakan - tidak akan menunjukkan penurunan harga yang ketara. 

Walaupun secara kasarnya, pemansuhan duti eksais boleh ditampung dengan kenaikan kadar pendapatan jualan, namun tanpa angka yang kukuh, pemikiran ini hanya akan menyebabkan pengguna menangguhkan pembelian sementara waktu, sekaligus 'membunuh' industri yang sedia rapuh ini. 

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan semasa yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan RHB yang melahirkan kembimbangan yang serupa apabila Dasar Automotif Negara 2006 semasa mengumumkan perubahan pada struktur duti, pasaran kereta baharu ketika itu menjunam dan tidak pulih sehinggalah 12 bulan kemudian. 

Menurut RHB lagi, perubahan yang mendadak di dalam harga pasaran kereta terpakai juga akan menyebabkan risiko sistemik kepada sektor perbankan. 

Sekiranya nilai cagaran tidak mencukupi kepada kadar pinjaman yang terkumpul, sektor ini bakal menyaksikan peningkatan yang mendadak terhadap pinjaman yang tidak berbayar.
 


Secara tuntasnya, rakyat Malaysia akan tetap memandang tinggi kepada langkah pengurangan harga kereta baharu, namun ada baiknya sekiranya kita tidak terlalu mengharap. 

Apa jua langkah yang bakal diambil perlu diumumkan setelah segala butiran diketahui dengan jelas dan dimuktamadkan melalui rundingan dengan pihak yang berkaitan. 

 

Artikel ini diterjemah daripada penulisan asal karya Hans Cheong daripada CarList.my.

Artikel asal boleh dibaca menerusi pautan di bawah:

Baca: Government Mulls Lower Excise Duty For Cars - How Low Will Prices Go? How Realistic Is It?

Add new comment

Careta Ad