Tunggang Uji: Yamaha YZF-R15 - Pendidikan superbike anda bermula di sini.

oleh HEZERI SAMSURI|
Setelah berjaya dengan resipi FZ-150, NVX-150, NMAX-150 dan Y15-ZR, Hong Leong Yamaha mahukan sesuatu yang lebih sporty untuk kelas 150cc mereka.

Melihat pada kejayaan YZF-R25, mereka mengusung keluar model YZF-R15, sebuah motosikal 4-lejang yang menggamit zaman kegemilangan TZM.

Walaupun dari segi tenaga maksimum, R15 ini jauh ketinggalan berbanding dengan TZM (19hp versus 35.5hp). Motosikal 4-lejang memang akan kalah dari segi prestasi jika dibandingkan dengan jentera 2-lejang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apapun, R15 nyata nampak "laju" walaupun semasa pegun. Tidak banyak ada motosikal 150cc dengan fairing penuh, lagi-lagi dengan jenama sekuat Yamaha.

Dari segi teknikal, R15 ini sudah memecah lingkungan 150 cc kerana sesaran enjinnya ialah 155.1 cc. Enjin silinder tunggal sejukan cecair ini dilengkapi dengan 4-injap SOHC dengan teknologi injap VVA (Variable Valve Actuation).

 

 

VVA memaksimakan kuasa dan daya kilas, dan mengimbau kenangan YPVS zaman dahulu.

Brek cakera hadapan bersaiz 282 mm (sebelah sahaja). cukup besar untuk motosikal bersaiz ini. Sayang sekali, ia tidak datang dengan sistem ABS.

Klac Assist and Slipper diberikan kepada R15 ini agar tukaran nisbah gear jauh lebih lancar dan meningkatkan prestasi.

 

 

Careta menunggang-uji model R15 beberapa hari lalu dan di bawah ialah nota-nota dari Raja Salehuddin Bin Raja Ariff, salah seorang penyumbang kami yang memang arif dengan motosikal dan pernah bermain di dalam acara-acara kapriks.

1. Ergonomik (cara duduk dan tunggangan)

  • Gaya tunggangan seperti sebuah sportbike tulen. Menonggek tu pasti. lama saya dahulu - memang bukan untuk selesa. 
  • Lepas tangan pada handle bar kiri dan cuba tegak sikitpun, anda akan tetap menonggek dengan jayanya. 
  • Jika "ride" jauh, memang kena letak siku atas tangki agar badan selesa sedikit.

2. Praktikaliti

  • Ia memang bukan untuk membawa barang.
  • Jika hendak dijadikan motor "despatch", boleh hantar dokumen sedikit-sedikit.
  • Ini ialah motosikal lebih untuk berseronok!

 

 

3. Rekabentuk

  • Kali pertama sigadis melihat - Wow kacak!
  • Kali pertama lelaki terpandang - Wow seksi!
  • Rekabentuk yang sangat sporti menyebabkan ramai yang tertengok-tengok.
  • Kepak-kepak aerodinamik di hadapan dan di belakang membuatkan mereka yang menunggang motosikal 250cc dari jenama lain terasa seperti sudah berusia. 
  • Ramai yang berfikir ia adalah sebuah jentera 200cc ke atas.
  • Fork terbalik nampak garang dan lengan ayun aluminium juga menggiurkan.
  • Panel meter digital nampak ringkas tetapi tiada warna. Apapun, ia mudah dibaca.
  • Kemasan pada coverset sangat kemas dan membuktikan produk Jepun masih jauh ke hadapan dari segi kualiti. Tiada gegaran walaupun enjin ditarik pada RPM tinggi.
  • Lampu "signal" yang capang itu sedikit buruk dan mencacatkan kelangsingan R15 ini.

 

 

4. Fungsi yang disukai

  • Lampu amaran had batas RPM enjin yang boleh diubah mengikut kemahuan penunggang. 
  • Contohnya, saya set-kan pada 10,500 RPM kerana itu adalah tahap yang saya rasa paling sedap untuk menukar nisbah gear bila merembat.

5. Fungsi yang tidak disukai

  • Sekali lagi, lampu isyarat membelok yang capang seperti telinga Hezeri Samsuri dan juga pemegang nombor plet belakang yang terlalu besar dan panjang.
  • Jika saya beli R15 ini, pemegang itu sahih akan saya sunatkan dahulu.

 

 

6. Penggunaan bahan api

  • Walaupun ligat mencari halaju maksimum di atas lebuhraya, kesesakan jalanraya di dalam bandar Klang tercinta dan menunggang santai di jalan-jalan persekutuan, masih ada lagi tiga "bar" pada tolok digital itu selepas 280 km perjalanan.
  • Saya kira jika kelajuan tidak pada tahap maksimum, setangki penuh 11 liter ini mampu untuk sampai ke Pulau Pinang (dari Klang).

 

 

7. Prestasi enjin

  • Enjin ini sangat lancar di bawah paras 7,000 RPM, di mana kebanyakan masa tunggangan akan dilakukan pada tahap ini.
  • Ia selesa dan langsung tiada gegaran.
  • Semuanya berubah bila sistem injap VVA mula beroperasi apabila jarum RPM melepasi 7,000 RPM.
  • Karektor lemah gemalai R15 ini terus berubah menjadi agresif dan terasa seperti ada tangan halimunan yang menolak motosikal ke hadapan.
  • Bila jarum mencecah 10,000 RPM, gegaran mula terasa pada tempat kaki dan juga di kawasan peha. 

 

 

  • Mungkin ini biasa untuk enjin silinder tunggal dan gegaran hanya terbatas kepada dua kawasan di atas itu sahaja, bukan pada coverset yang langsung tidak mengalami sebarang gegaran. 
  • Bunyi hanya terdengar dari enjin dan tidak ada bunyi plastik-plastik bergegar - jelas kualiti pemasangan yang tinggi dari jenama Jepun.
  • Rasanya jika nisbah spoket belakang ditukar kepada 2.9, halaju maksimum akan meningkat dan mungkin gegaran akan berkurangan, cuma daya pecutan akan lembab sedikit.

 

 

  • "Engine braking" terasa seperti kurang - dan saya tidak pasti adakah ia diakibatkan dari sistem klac Assist and Slipper itu.
  • Kerana itu, jika hendak bermain di kawasan berselekoh seperto di Kuala Klawang, pastikan anda berada di dalam nisbah gear yang tepat. 
  • Gunakan brek untuk memperlahankan motosikal pada kelajuan yang tepat sebelum masuk gear, tetapi jika tersalah pun, klac Slipper ini akan menyerap tenaga agar tidak berlakunya "shift-shock" di mana tayar belakang terlompat-lompat kerana nisbah gear yang terlalu rendah dipilih atau kelajuan masih terlalu tinggi untuk nisbah gear yang dipilih.

 

 

8. Halaju maksimum

  • Jika saya rapatkan dagu ke tangki, halaju tertinggi saya kecapi ialah 151 kmsj (angin tidak begitu kuat).
  • Jika saya tidak menunduk, kelajuan dalam 136 kmsj sehingga 140 kmsj - mengikut kekuatan angin.
  • Ujian "superman" tidak dilakukan kerana merbahaya dan terlalu kebudak-budakan.
  • Kelajuan enjin terbatas pada 11,500 RPM, di mana Yamaha telah set kan "cut-off".

 

 

9. Pengendalian

  • Yamaha ini sudah hampir kepada pengendalian Aprilia RS125 lama saya - tidak sama tetapi sudah hampir-hampir dan saya suka!
  • Ia jauh lebih baik dari pengendalian Yamaha TZM, Honda NSR RR dan Kawasaki 150 RR.
  • Seperti sebuah sportbike tulen, pastikan nisbah gear yang betul dan layankan selekoh. Motosikal ini akan mengikut lenggok anda dengan stabil.
  • Tingkatkan kelajuan di selekoh dan R15 ini masih selamba tanpa ekornya membuai-buai ala gelek gerudi Inul Daratista.

 

 

  • Jika anda masuk ke litar, mungkin fork hadapan perlu sedikit perubahan kerana pada setting sekarang, ia sedikit "degil" untuk turun di selekoh. Untuk jalanraya, tidak perlu sebarang perubahan.
  • Tayar IRC standard ini juga memberikan prestasi yang okay-okay.
  • Dalam hujan, tunggangan pada 90 kmsj masih sangat stabil cuma masih terasa sedikit adegan geli-menggeli yang mungkin tidak begitu dimahukan oleh sesetengah penunggang.

 

 

10. Prestasi brek

  • Brek hadapan yang standard ini cukup memuaskan, selagi anda tidak membuat aksi "late braking" seperti Hafiz Syahrin. 
  • Brek hadapan ini juga cukup kuat menggigit, tetapi masih mudah dikawal dengan tangan - tidak terlalu sensitif dan tidak terlalu lembab.
  • Saya tidak ada banyak komen mengenai brek belakang kerana tidak terlalu menggunakannya.

11. Keselesaan

  • Jika anda rasakan sebuah sportbike itu selesa, maka selesalah R15 ini.
  • Jika tidak, carilah kapcai Y15 atau Nmax atau NVX tetapi jangan bercerita anda "ambil lap macam Rossi" kerana pengendalian kapcai dan skuter berada di paras bumi berbanding dengan R15 yang sudah ada di taraf awan.

 

 

12. Adakah ia berbaloi?

  • Jika anda mencari sebuah motosikal dengan enjin kecil untuk tunggangan sporti, memang R15 ini ialah yang terbaik di pasaran.
  • Ia mempunyai fungsi-fungsi dan kelengkapan yang sama seperti sebuah jentera superbike besar dan untuk kategori di bawah 200 cc, memang pengendaliannya sangat menakjubkan.

Yamaha YZF-R15 ini datang pada harga RM11,988 (sebelum cukai SST) dan ditawarkan dalam tiga warna - kuning, hitam dan biru.

Seperti biasa, jaminan setahun atau 10,000 km diberikan - sangat rendah tetapi tiada rungutan dari pihak pengguna.

Khusus untuk anak muda yang benar-benar mahukan sebuah motosikal 150 cc dengan prestasi sejati, anggapkan harga RM12,000 itu sebagai bayaran untuk persediaan anda ke arah dunia superbike nanti.

Berita Berkenaan

Berita Global
Reka bentuk PAS Wagon dibuat mesra pengguna melalui rangka bentuk U yang rendah dan mudah untuk…
Berita Domestik
Menurut kenyataan dari HLYM, mereka akan mengadakan satu program untuk menaiktaraf atau…
Berita Global
Yamaha Tricity 125 Matte Light Green Gray Metallic   Model 2024 tampil dengan warna baharu…