Tunggang Uji Ringkas Moto Guzzi V85TT (dari RM79,888) - Helang Itali mencuit GS

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita mengenai jentera ADV dari jenama klasik Itali ini sudah lebih dari dua tahun digembar-gemburkan.

Akhirnya, ia dilancarkan ke semua pasaran dan untuk Malaysia, ia sudah mula boleh dibeli sejak minggu lalu.

Didi Resources, pengedar rasmi Moto Guzzi mengadakan majlis pelancarannya di Rimba Valley Motor Campsite, Janda Baik.

Ia juga membenarkan para media dan orang ramai untuk mencuba model V85TT yang memang jelas mempunyai ciri-ciri rekabentuk unik.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
V85TT

Konsep Adventure Classic yang cuba dicapai oleh Moto Guzzi V85TT boleh dikatakan berjaya, terutama pada varian dengan corak Evocative Graphics (kuning Sahara dan putih atau merah Kalahari dan putih).

Lampu hadapan LED berkembar, paruh panjang dengan fork yang panjang, pelindung ekzos dan bawah enjin serta kerangka tiub berwarna merah (atau kelabu) menyerlahkan sifat agresif yang memang dijangka untuk sebuah motosikal genre Adventure (ADV).

 

 

Namun begitu, untuk kekal dengan konsep Moto Guzzi, semuanya dilakukan tanpa melindungi bentuk klasik enjin V-Twin 90-darjah sejukan udara dengan sesaran 853cc itu.

Elemen tangki Guzzi kekal, mengingatkan penulis kepada motosikal ADV Jerman generasi pertama. Roda dengan lidi menambahkan lagi efek "off-road" Guzzi ini dan pelana bertingkat seperti memberikan cadangan kepada penunggang untuk terus menunggang melepasi sempadan negara.

Tetapi di sebalik tirai klasik itu, tidak ada apa yang "old-school" bagi Moto Guzzi V85TT.

Fork hadapan jenis terbalik seolah penanda ia sebenarnya motosikal yang berteknologi modern. Paparan meter LCD berwarna pula lengkap dengan grafik dan animasi.

 

 

Tiga mod tunggangan diberikan - Road, Rain dan Offroad, sementara sistem ABS dari Continental itu boleh ditutup (untuk roda belakang) bagi membantu ketika tunggangan offroad.

Untuk menghasilkan sebuah ADV yang mampu ditunggang oleh 95 peratus penunggang motosikal di dalam dunia ini, Moto Guzzi memastikan V85TT ini mudah dikendalikan.

Tunggang uji ringkas sejauh 4 km di sekitar kawasan milik Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain ini memberikan gambaran ringkas betapa mudahnya untuk menunggang motosikal itu.

 

 

Walaupun nampak besar, tinggi pelana yang cuma 830 mm dari permukaan bumi itu sebenarnya 10 mm lebih rendah dari Kawasaki Versys 650.

Berat basah 229 kg pula tidak terasa kerana Moto Guzzi berjaya membuatkan kesemua berat itu ke bahagian bawah V85TT.

Pertama kali menunggangnya, penulis terus merasakan ia seperti menunggang motosikal sendiri yang sudah lama dimiliki. 

"Umpama menyarung kasut sukan yang kita gunakan setiap hari," ujar rakan media K Mohan dari PaulTan.org yang dibawa ke Thailand untuk tunggangan media sesi pertama Moto Guzzi bulan lalu. 

 

 

Hantaran tenaga juga lancar dan tidak menakutkan, serta bar hendal yang lebar pula memudahkan kawalan semasa kelajuan rendah.

Laluan tunggang uji pula ialah 80 peratus off-road mudah, dengan beberapa laluan merentasi sungai cetek dengan lantai berbatu. 

Tidak kekok untuk penulis terus berdiri dan menunggang dengan sedikit laju pada permukaan berbatu halus itu agar ekor dibiarkan menari-nari.

 

 

Bentuk tangki itu juga memudahkan tunggangan berdiri, sementara tempat kaki dan bar hendal menambahkan keyakinan untuk mengawal Guzzi ini di kawasan berbatu pada kelajuan sangat rendah.

Kestabilan itu juga sungguh memudahkan penulis untuk terus meredah laluan berbatu besar. 

Penulis juga tidak dapat mengelak dari membandingkan Guzzi ini dengan BMW R1200 GS. Sebenarnya, 1200 GS itu terasa seperti menunggang sebuah gergasi - berat dan besar.

Guzzi V85TT ini lebih sesuai untuk dibandingkan dengan F850 GS yang baharu atau F800 GS yang lama kerana ia selincah motosikal Jerman itu.

 

 

Enjin V-twin yang diambil dari model streetbike V9 itu pula ditala kembali agar tenaga daya kilas lebih banyak hadir pada RPM rendah.

Ini dicapai melalui penggunaan injap kemasukan dari bahan titanium, aci sesondol yang 30 peratus lebih ringan serta sistem pam berkembar untuk pelincir enjin. 

Memang terlalu mudah untuk mengawal V85TT ini dan untuk penunggang ADV veteran, mungkin akan ada yang berkata ia terlalu mudah.

 

 

Namun begitu, masa ujian terlalu ringkas untuk memberikan komen-komen yang lebih mendalam. Mungkin bila Careta menunggang ujinya di masa lain dan untuk jarak yang lebih jauh.

Senarai harga Moto Guzzi V85TT adalah seperti berikut.

  • RM87,888 untuk varian warna standard (Blue Atlante, Grigio Atacama, Rosso Vulcano) 
  • RM89,888 untuk varian Evocative Graphics (merah/putih atau kuning/putih)

Sempena pelancaran model ini, Didi Resources menawarkan harga permulaan dari RM79,888 untuk warna-warna standard.

 

 

Careta diberitahu bahawa Moto Guzzi ada menawarkan aksesori-aksesori yang membolehkan anda menjadikan ia Guzzi yang fokus untuk jalanraya atau tunggangan adventure.

Harganya memang dalam lingkungan yang sama untuk BMW F750 GS, F850 GS serta Honda African Twin.

Yang membezakan V85TT dari yang lain ialah bentuk klasiknya, dan mungkin itu sudah cukup untuk menjadi sebab pemilihan pembeli.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
MotoPlex Sungai Buloh diuruskan oleh Welly Sungai Buloh Sdn Bhd, pengedar rasmi yang dilantik oleh…
Gaya Hidup
Cawangan di Johor Bahru itu merupakan MotoPlex kedua yang diuruskan oleh Goh Brothers Motorcycles…
Pelancaran Motosikal
Jentera sports tourer itu dikuasakan oleh nadi V-Twin bersesaran 1,042 cc, menghasilkan 115 hp @ 8,…