Tunggang Uji: Modenas Versys-X 250 kini lebih berbaloi!

oleh Mohamad Hanif|
Sejak Kawasaki Heavy Industries meningkatkan pegangan di dalam Modenas, kita dapat melihat perancangan yang lebih besar dibuat khusus untuk pasaran tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malah, tahun ini sahaja kita telah pun menerima kehadiran beberapa model yang telah dijenamakan semula di bawah Modenas, seperti Ninja 250, Z250, Ninja 650, Z650, Versys 650 dan tidak ketinggalan sports bike empat dapur yang dinanti-nantikan - Ninja ZX-25R!

Salah satu model penting yang turut dilancarkan kembali beberapa bulan yang lepas ialah Modenas Versys-X 250.
 

versyus


Kali pertama menunggang uji jentera kembara 250 cc ini beberapa tahun yang lalu meninggalkan impresi yang cukup mendalam kepada diri penulis.

Terutama dari segi keyakinan untuk mengendalikan jentera yang lebih besar, memandangkan suatu ketika dahulu penulis hanya biasa menunggang motosikal jenis kapcai sahaja sejak peroleh lesen rasmi.

Versys-X 250 kini kembali ditawarkan semula pada tahun ini, bukan sahaja di bawah naungan jenama baharu, malah ia juga tampil dengan pakej yang lebih berbaloi untuk dimiliki.

Ikuti ulasan ringkas kami:

 

1. Harga jualan sedikit mahal, tapi tak perlu pening kepala

Versys


Berbanding model Versys-X yang terdahulu, Modenas kini memasarkan Versys-X 250 terbaharu ini dengan harga jualan RM24,900.

Ya, ada peningkatan harga, namun yang pasti, pembelian Versys-X lebih berbaloi kali ini.
 

Versys


Sebab apa? Anda akan mendapat pakej tambahan termasuklah besi pelindung panel sisi, pelindung tangan, lampu kabus LED, serta kotak storan sisi berkapasiti 17 liter kiri dan kanan.

Penambahan aksesori yang disebutkan itu tadi sudah mampu untuk menjadikan tunggangan jarak jauh anda lebih menyenangkan.

Mungkin kena usaha sikit untuk tambah boks belakang, tapi usah risau kerana sekarang sudah terdapat banyak pilihan yang ada di dalam pasaran.

 

2. Pakej kuasa yang mudah untuk dikendalikan

Versys


Secara standard, Versys-X 250 masih lagi kekal dengan nadi parallel-twin 249 cc yang mampu menghasilkan 33 kuasa kuda dan 21.7 Nm.

Nadi yang sama dibekalkan pada jentera 250 cc Modenas lain seperti Ninja 250 dan Z250 - kuasa yang berpadanan dan mudah untuk dikendalikan oleh penunggang yang kurang berpengalaman.
 

Versys


Terima kasih kepada klac Assist & Slipper yang ringan itu, mereka yang tidak biasa menggunakan tuas klac tangan boleh menikmati penukaran gear yang lancar.

Untuk menghentikan pergerakan Versys-X ini juga cukup mudah dengan kehadiran brek cakera depan dan belakang, dibantu dengan fungsi ABS dua saluran untuk memastikan tiada tayar terkunci sewaktu dalam situasi kecemasan.
 

Versys


Ketinggian pelana sekitar 815 mm itu mungkin menjadikan penunggang kurang inci terpaksa berjengket kaki sewaktu di persimpangan lampu isyarat, namun ia bukanlah satu masalah besar pun buat penulis.

Sekurang-kurangnya, tempat duduk Versys-X ini tidaklah selebar pelana Elegan 250.

Walaupun dengan kehadiran dua kotak simpanan di bahagian sisi, Versys-X ini masih lagi boleh dikendalikan dengan mudah biarpun terpaksa mencelah di tengah-tengah kesesakan trafik.

 

3. Panas dan hujan? Bukan satu masalah besar.

Versys


Salah satu keseronokan yang wujud pada Versys-X 250 ini ialah keupayaannya untuk dibiasakan dalam apa jua keadaan tunggangan.

Baik di bawah cuaca panas terik, atau terpaksa menempuh jalan yang basah sepanjang masa.

Sistem suspensi standard Versys-X ini mempunyai magis yang tersendiri, selain boleh digunakan untuk laluan off-road, ia tidak malu untuk beraksi di jalan berselekoh!

Dengan cara yang betul, anda sebenarnya boleh menikmati tunggangan Versys-X yang bergaya di laluan yang berliku persis motosikal berkuasa tinggi.

Di atas lebuh raya, ia mampu menawarkan tunggangan yang stabil pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.
 

Versys


Rahsia kedua yang wujud pada Versys-X ini sudah pasti terletak pada tayar standard yang dibekalkan dari kilang.

Getah IRC Trail Winner GP-210F bersaiz 110/70R17 di depan dan 150/60R17 di belakang itu mempunyai corak bunga unik yang mampu memastikan Versys-X ini melekat dengan baik di selekoh.

Malah, tunggangan ketika hujan lebat juga bukanlah satu masalah besar buat Versys-X.

 

4. Versys-X kekal dengan imej motosikal kuasa tinggi, walaupun 250 cc!

Versys


Salah satu keunikan yang wujud pada Versys-X terletak pada imejnya yang mampu untuk 'menipu' orang ramai.

Dengan kehadiran penghadang angin yang tinggi, lampu kabus LED, serta dua kotak storan barang di belakang, ia sudah cukup untuk membuatkan Versys-X ini sebuah motosikal 'berkuasa tinggi' walaupun enjin masih kekal 250 cc.

Cukup untuk membuatkan anda bergaya di media sosial tanpa perlu berbelanja besar membeli motosikal berkuasa tinggi, dan yang paling penting tak perlu nak naik taraf lesen motosikal pun!

 

5. Motosikal kembara yang santai, laju-laju nak pergi mana?

Versys


Harus diingatkan, Versys-X 250 ini masih lagi sebuah jentera dalam kelas 250 cc, jadi anda tidak boleh menjangkakan motosikal ini beraksi macam jentera berkuasa tinggi.

Ya, kuasa yang dihamburkan oleh Versys-X ini membolehkan anda  memecut pantas saat lampu isyarat merah bertukar hijau dan boleh meninggalkan kebanyakan kapcai di belakang.

Versys-X juga boleh ditunggang pantas di atas lebuh raya, cuma pada pendapat penulis kelajuan yang boleh dinikmati dengan selesa adalah sekitar 110-120 km/j sahaja.
 

Versys


Lebih daripada julat itu, perasaan tidak selesa mula menerjah, disebabkan oleh pukulan angin dari arah depan yang boleh dirasai pada helmet.

Seperti yang penulis tekankan pada tunggang uji terdahulu, kelajuan bukanlah tujuan utama motosikal kembara ini dicipta, akan tetapi keseronokan tunggangan yang santai dalam apa jua keadaan.

Paling penting, Modenas Versys-X 250 kini menawarkan pakej yang lebih bergaya pada harga yang lebih mampu milik, sesuai untuk golongan yang mahu berjinak-jinak dalam dunia motosikal bersesaran tinggi.

 

Spesifikasi ringkas Modenas Versys-X 250

Versys


Enjin parallel-twin 249 cc, sejukan cecair
33 hp @ 11,500 rpm, 21.7 Nm @ 11,000 rpm
Transmisi enam kelajuan
Klac Assist & Slipper
Tangki bahan api 17 liter
Tinggi pelana 815 mm
Berat 181 kg
Fork teleskopik 41 mm/Bottom-Link Uni-Trak dengan larasan pra-muatan
ABS dua saluran
Harga RM24,900