Tunggang Uji: Kawasaki ZX-10R SE 2019 - Komputer dua tayar khusus untuk meleper!

oleh Penyumbang Rencana 2|
Sejak model ZX-10R mula diperkenalkan dalam tahun 2004, ramai menganggap ianya adalah model gantian Kawasaki ZX10 Tomcat yang popular sekitar tahun 1988-1990. 

Salah sebenarnya kerana model ZX-10R ini direka khusus untuk menggantikan model ZX-9R yang tidak kurang hebatnya bagi penggemar superbike di negara ini. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
laju
Jangan tiru aksi ini di jalan awam. Penggambaran dilakukan di jalan tertutup.

 

Dengan kapasiti enjin 998cc, setiap model ZX-10 yang diperkenalkan oleh Kawasaki ini akan diperbaharui dengan pelbagai teknologi perlumbaan. 

Baik model pertamanya sehinggalah kepada model varian terbaharu yang kami uji ini - ZX-10R SE di mana ia telah menjuarai Kejuaraan Dunia WSBK bersama Jonathan Rea (2017-2018) dan juga Tom Syke (2015-2016).

Sekali imbas, model 2019 ini sama seperti model 2016-2018 kerana masih mengekalkan bentuk luaran yang sama. 

Jadi apakah yang lainnya dengan ZX-10R SE ini?

 

 

Hampir keseluruhan teknologi yang diguna pakai untuk ZX-10R SE ini diceduk terus dari model WSBK. Ini termasuklah pengemaskinian kepala silinder yang baharu dan telah direka semula menjadi lebih padat bagi memberikannya pembakaran yang lebih pantas. 

Valvetrain kini akan dilengkapi dengan sesondol ("cam")  yang bergerak balas terus pada "finger followers", dan bukannya dari "tappet". 

Nampak kecil tetapi perubahan ini menghasilkan pengurangan jisim sebanyak 20 peratus. Ini juga menjadikannya lebih mudah untuk memasang profil aci sesondol yang lebih agresif. 

 

 

Dan oleh kerana itu, enjinnya mampu mengekalkan kelajuan pusingan (RPM) tinggi dengan lebih yakin untuk mengekalkan dominasi mereka dalam siri Kejuaraan WSBK dan juga saingan pencabar dari jentera Ducati Panigale V4, R1M dan juga CBR1000RR.

Kawasaki juga telah memberikan model 998cc terbaharu kuasa kuda yang lebih tinggi - 210hp (bila efek Ram Air mula masuk). Ini adalah khas untuk pemilik ZX-10 yang rata-rata berjiwa kelajuan dan sering turun ke litar. 

 

 

Selain dari itu, model baharu ini juga dilengkapi dengan teknologi perlumbaan untuk kawalan tunggangan yang optimum seperti:
 

  • Suspensi Kawalan Elektronik (KESC)
  • KLCM Launch Control Mode, Traction Control 
  • Tiga mod kuasa (Full/Medium/Low) untuk semua jenis jalanraya dan penunggang
  • Sistem brek KEBC (Kawasaki Engine Braking Control)
  • Showa Balance Free Front Fork
  • Kawasaki Quick Shifter (Dwi arah - bukan untuk upshift sahaja ya)
  • Ohlins Electronic Steering Damper
  • Electronic Throttle Valve
  • Rim tempa (forged daa) Marchesini (hanya untuk varian SE dan ZX-10RR sahaja sebenarnya)
  • Cat rawat kendiri (Self Healing Paint) bagi bahagian yang mudah calar pada luaran jentera ini

 

 

Semasa menunggang uji jentera ini, kami hanya mmembuat tetapan kuasa pada mod Medium sahaja, kerana kami tahu model ZX10R ini sukar dijinakkan dan kami tetap mahu melihat isteri dan anak-anak keesokan harinya.

Lagipun, mod tertinggi, Full adalah lebih sesuai untuk di litar dan atas sebab insurans, kami tidak dapat menunggangnya di Litar Sepang.

Namun begitu, walaupun dalam mod Medium, (kuasa dibataskan kepada 80 peratus sahaja), tenaga yang dihamburkan semasa menggunakan gear satu dan dua sudah boleh mengingatkan penulis kepada saat Hari Raya Haji bila berhadapan dengan lembu jantan degil yang tidak mahu dikorbankan. 

 

 

Jika diteruskan, nescaya roda hadapan akan mendongak mencari anak bulan. Mujur juga ada Kawasaki Launch Control Module (KLCM) yang akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan roda hadapan mencecah tar jalanraya ketika pendikit diperah pada gear satu dan dua.

Akan tetapi sistem ini dimatikan secara automatik semasa memasuki gear 3tiga - dan jangan ditanya bagaimana penulis tahu. Yang pasti, senyuman dibibir ini masih ada sehingga hari ini.

Wheelie gear tiga - siapa yang tak hendak bukan?

 

 

Semasa melalui lebuhraya yang agak sibuk (mungkin kerana waktu puncak) dari Serdang ke Melaka, proses penukaran gear dapat dibuat dengan lancar dengan adanya Kawasaki Quick Shifter Dwi Arah, cuma ada ketikanya semasa di lampu isyarat  dan juga ketika berhenti untuk mengisi minyak, gear neutral agak sukar dikesan dan tuil gear juga sedikit keras.

Terus teringat zaman-zaman ZZR-1000 di mana bila kotak gearnya memang degil dan bila menukar dari Neutral ke gear satu di hadapan simpang Pertama Complex - Sogo, seluruh kawasan boleh mendengar bunyi "Ketaaaaak" itu.

 

 

Walaupun model ZX-10R SE ini dirasakan sedikit besar tetapi tidaklah sukar untuk menyelit dikesibukan kenderaan. Ia sebenarnya amat mudah untuk dikendalikan di bawah kelajuan 150kmh - sesuatu yang mengejutkan penulis kerana terasa seperti membawa sebuah kapcai 150cc pula cuma kali ini dengan meter kelajuan yang lebih telus dan tiada bakul di celah kelengkang.

Tunggangan perlahan dalam kelajuan antara 60 - 80 kmsj pula boleh dilakukan dalam gear empat sahaja. Menarik kerana enjin tidak memprotes pada kelajuan serendah itu. Inilah gunanya teknologi di mana sistem komputer mengawal "fuelling" dengan baik agar enjin sentiasa mempunyai imbangan bahan api dan udara yang cukup.

 

 

Kuasa pecutan dari 100 sehingga ke 250 kmsj begitu pantas - dan sedar-sedar kesemua benda di sekeliling menjadi kabur. Bila Ram Air mula menyedut masuk udara lebih ke dalam kotak udaranya, Kawasaki ini terasa seperti ditendang kuat dari belakang oleh Gerodot seteru Ultraman, melonjakan kami ke hadapan dengan sederas mungkin.

Bunyi nyaring efek Ram Air juga menyebabkan kami semakin teruja, ditambah dengan banjiran tenaga yang datang tidak putus-putus sehingga jarum speedo menunjukan 250 kmsj. 

Itu pun kami terus berhenti memulas pendikit kerana tersedar bahawa bahaya menanti jika diteruskan.

Kami mampu bayangkan sekiranya tetapan kuasa diletakkan pada mod Full, pasti mudah untuk melangkaui penanda 300 kmsj.

 

 

Ketika melalui laluan ke Mastana (Simpang Ampat, Padang Besar, Padang Kambing, Bukit Apit, Ayer Limau dan Masjid Tanah), kami mula menguji kemampuan jentera mengendali selekoh-selekoh di sana.

Apa yang mengujakan kami ialah kestabilan jentera yang dibantu oleh sistem KECS (Kawasaki Electronic Control Suspension) yang mempunyai ECU sendiri!

Ia beradaptasi dengan keadaan jalan secara "real-time" kerana sensor-sensor pada sistem KECS menghantar informasi terus ke sistem komputer ECU-nya setiap 1 mili saat (ms). Kemudian ia akan membuat perkiraan dan menghantar tindakbalas pada solenoid penyerap hentak setiap 1 ms juga!

Anda boleh pula memilih tiga mod tunggangan untuk pengendalian sistem gantungan canggih ini - Race, Road dan User (di mana penunggang boleh memprogramkan tetapan sendiri, jika tahu apa yang dibuat).

 

 

Dalam mod Road, memang terasa sangat selesa sebenarnya dan dalam mod Race, ia membolehkan sudut miringan turun dengan lebih rapat ke bumi serta dapat dinikmati dengan lazat sekali. 

Ditambah pula dengan tayar belakang bersaiz 190 - inzal dibuatnya!

Sistem brek yang diberikan juga khusus untuk tidak begitu mengganggu permainan syahdu di selekoh. 

Sepasang Brembo M50 Monobloc (Dual Semi Floating Disc) dengan cakera bersaiz 330 mm di letakkan di hadapan, kemudian ditambahkan lagi dengan KIBS (Kawasaki Intelligent Brake System) yang membolehkan kita trail-brake secara optimum semasa mengambil selekoh. 

Menambahkan keyakinan kami ialah sistem KCMF (Kawasaki Cornering Management Function) yang memastikan tayar gemuk di belakang itu tidak tergelincir atau "slide". 

 

 

Jangan salah sangka pula kerana walaupun semua sistem elektronik ini membuatkan anda semakin laju di selekoh, ia sebenarnya membantu skil tunggangan anda. Jika skil tidak ada atau baharu suam-suam kuku, jangan terlalu berani kerana parit sudah sedia menanti.

Sentiasa beringat ketika di jalanraya awam.

Keseronokan menunggang pun perlu diselang-selikan dengan jelingan kepada papan meter untuk mengetahui keadaan motosikal.

Untuk ZX-10R SE ini, pelbagai informasi yang diperlukan semasa menunggang seperti halaju, tetapan mod, penunjuk gear, minyak, suhu, waktu dan lain-lain informasi boleh diubah mengikut selera dengan menggunakan butang tetapan di sebelah kiri hendal sahaja. 

 

 

Ia memang kompleks dan paparan meter ini mempunyai seribu satu fungsi. Kami pasti penunggang yang serius akan membuka buku manual untuk membaca segala fungsi yang ditawarkan. Yang gagap membaca perlu rajin bertanya, itupun jika ada rakan lain yang memiliki jentera yang sama.

Posisi tunggangan tidak begitu rileks seperti BMW S1000 RR. Anda sentiasa perlu menjangkau tangan ke bawah dan kaki pula terlipat rapat kerana tempat letak kaki yang tinggi ke atas.

Untuk yang berperut, diet itu sudah jadi satu kewajipan jika anda mengidamkan motosikal ini.

 

 

Secara ringkas, ZX-10R SE 2019 adalah jentera super sportbike yang terbaik dari Kawasaki sekarang ini. Geometri kerangka dan komponen perlumbaan memberikan anda asas motosikal yang baik, tetapi penambahan sistem elektronik pula menjadikan ia terbaik.

Ia bukan untuk yang baharu berjinak dengan motosikal besar, atau mereka yang sebelum ini menunggang sebuah Dual Purpose atau cruiser seumur hidup mereka.

Dalam ertikata lain, ia hanya ada satu fungsi - untuk menjadikan anda roket terlaju di atas jalanraya.



- Laporan tunggang uji oleh Fadzil Mastana Ishak.

 

 

Spesifikasi Kawasaki ZX-10R SE 2019

  • Enjin
    • 998cc, empat silinder sebaris, 16-injap, DOHC, 4 dual-injectors bersaiz 47mm, injap pendikit elektronik dengan S-KTRC, Ride Modes, KEBC, KLCM, KQS etc.
  • Kuasa maksimum
    • 210 PS @ 13,000 rpm (dengan efek Ram Air)
  • Daya kilas maksimum
    • 113.5 Nm @ 11,500 rpm
  • Transmisi
    • 6-kelajuan 
  • Berat
    • 206 kg (kerb)
  • Saiz tayar
    • Hadapan: 120/70 – ZR17 M/C (58W) 
    • Belakang: 190/55 – ZR17 M/C (75W)
  • Harga
    • Atas RM140,000 (atas jalan)

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…
Pelancaran Motosikal
Warna baharu yang diterima oleh Kawasaki Z900 ABS adalah warna Candy Persimmon Red/Ebony yang…