TUNGGANG-UJI: Kawasaki Z900 ABS 2017 - Serba baharu, serba cantik dan serba tak kena terkenangkannya!

oleh HEZERI SAMSURI|
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kawasaki memang sinonim dengan superbike, dan Kawasaki juga terkenal dengan superbike berprestasi tinggi tetapi harga mampu milik.

Ini ialah kerana Kawasaki Heavy Industries di Jepun sudah lama mensasarkan Asean sebagai pasaran utama untuk mereka berkembang. Paling menarik, Kawasaki adalah antara syarikat motosikal berkuasa tinggi pertama menjadikan Asean tapak untuk membina motosikal-motosikal yang kemudian dieksport secara global.

Sebelum penulis berhujah seperti ahli politik, mari kita lihat salah satu dari produk global Kawasaki yang dipasang di Asean dan mendapat pujian dari satu dunia - Kawasaki Z900 2017.

Z900 1

 

Model Z900 ini adalah rentetan dari produk Z800 yang sangat popular di Malaysia. Apa yang ramai tidak tahu, Z900 sebenarnya pengganti bukan untuk Z800, tetapi juga untuk Z1000 (di pasaran US).

Dan Z800 terpaksa diberhentikan kerana masalah pelepasan asap (emission), walaupun sebenarnya model itu masih muda.

Jadi apa yang kita ada di sini ialah sebuah motosikal yang memberikan prestasi Z1000, tetapi dengan harga yang menghampiri Z800. 

Menarik bukan? 

Z900 2

 

Kami diberi peluang menggunakan Z900 ini untuk seminggu dan kami kongsikan apa yang kami tahu akan model ranggi itu.

Z900 ialah model serba baharu - ini bermakna kerangka dan enjin adalah serba baharu.

Ia juga lebih ringan dari Z800 - 11 kg lebih ringan walaupun enjin 948 cc yang digunakan jauh lebih bertenaga dari Z800 yang jiran anda gunakan (10 peratus lebih bertenaga untuk kuasa kuda dan tork ialah 18 peratus lebih tinggi).

Z900 3

 

Enjin Z900 memang serba baharu, tetapi ia direka untuk mengikut tradisi Kawasaki. Kerana itu, enjin 949 cc sejukan cecair DOHC empat silinder sebaris dengan lejang pendek ini sangat terasa seperti enjin Kawasaki yang lain.

Tenaga maksimum ialah 123.3 hp pada 9,500 RPM sementara tork ialah pada 98.6 Nm pada 7,700 RPM. 

Seperti yang ramai sangkakan, Z900 pastinya mempunyai tork yang tinggi pada kelajuan enjin yang rendah. Sebenarnya, tidak. 

Pada kelajuan RPM enjin di bawah 6,000 RPM, hantaran tenaga dirasakan lembut dan mesra pengguna. Ini bagus kerana pada kelajuan itu, ia praktikal untuk tunggangan dalam bandar atau semasa hujan.

Z900 4

 

Bila jarum tolok RPM melepasi 6,000 RPM, ia terus memecut ke hadapan seperti disepak oleh gergasi gerodot - mencanak ke hadapan sehingga ke garisan merah 11,000 RPM. Bunyi deruman bila angin masuk ke kotak udara pula mengaum bagai singa - sangat-sangat mengasyikkan dan bak kata pepatah anak-anak muda serkarang - makin stim.

Walaupun begitu, tenaga pertengahan (midrange) iaitu bila enjin berputar pada 4,000 ke 7,000 RPM, masih cukup kuat untuk memudahkan tunggangan santai dan memotong.

Z900 5

 

Menurut Kawasaki, kerangka Z900 ini serba baharu dan mempunyai bentuk Trellis seperti Ducati tetapi dari pengamatan Careta, ia adalah campuran pelbagai jenis sistem kerangka - Trellis, parameter frame dan juga tiub besi tradisional dan enjin pula dijadikan salah satu titik pengukuhan untuk keseluruhan motosikal. 

Kualiti buatan Kawasaki nampak ada pembaikan yang sangat ketara kerana mutu kimpalan pada kerangka ini sangat kemas. Dan subframe belakang juga dikimpal terus dan tidak boleh dibuka.

Saiz roda aloi ialah 17-inci dengan pilihan tayar hadapan 120/70ZR17 dan 180/55ZR17 untuk tayar belakang.

Z900 7

 

Sistem gantungan Z900 tidaklah canggih dengan kawalan elektronik dan pelbagai. Namun begitu, fork terbalik di hadapan dari KYB sebesar 41 mm itu boleh dilaraskan untuk rebound dan preload. Di belakang, pegas spring Back-link juga mampu dilaraskan rebound dan preload.

Brek pula tidak begitu ganas tetapi cukup kuat untuk berat Z900. Di hadapan ialah cakera petal 300 mm (semi floating) dengan 4-piston sementara di belakang ialah cakera petal 250 mm dengan kaliper satu piston. Oh ya, brek Z900 datang lengkap dengan ABS ya.

Berat Z900 biasa ialah 210 kg tetaoi untuk Special Edition, 213 kg. 

Z900 9

 

Jika Z800 dahulu terasa sedikit "nervous" atau "gabra" pada fork hadapan, Z900 ini lebih neutral dan ya, lebih menggiurkan kerana ia memberikan kami keyakinan untuk terus memulas pendikit di dalam gear-gear rendah sehingga muncung mendongak ke langit dan menari rumba.

Sifat dua alam (mesra penunggang pada kelajuan rendah dan perasan-MotoGP pada kelajuan tinggi) ini menjadikan motosikal ini lebih mudah dikendalikan dan menjadikan penulis lebih berani. 

Namun, ketiadaan alatan keselamatan ekektronik selain dari ABS sahaja membataskan keberanian penulis kerana ialah, kesian nanti isteri-isteri di rumah-rumah tinggal bersendirian.

Z900 11

 

Tahap cengkaman juga seperti lebih menggigit di hadapan, dan kerana bar hendal terasa lebih telus, penulis lebih berani membrek lambat untuk terjah ke dalam selekoh, dan dengan pendikit yang lebih progresif (maknanya, ia bukan jenis pendikit yang dipulas sedikit dan tiba-tiba terhambur 90 peratus tenaga dari enjin), pecutan keluar selekoh memang sering dilakukan dengan lebih laju.

Menambahkan keyakinan penulis ialah sistem slipper clutch yang membolehkan gear diturun rendah dengan lebih keyakinan tanpa takut insiden rear wheel hop. Ya lah, kadang-kadang bila sudah terlalu ghairah, gear diturunkan terlalu banyak dan bila klac dilepaskan, tayar belakang meloncat kerana nisbah gear terlalu rendah. Slipper clutch memastikan sedikit tenaga diperam agar tayar tidak meloncat dan mengganggu kestabilan (terutama di dalam hujan).

Z900 12

 

Dengan jarak roda yang tidak terlalu panjang, Z900 lebih seronok dibawa di kawasan yang banyak selekoh, terutama laluan persekutuan. Dan tidak seperti Z900 atau Z1000 yang mempunyai sistem gantungan belakang sekeras hati Azura lakonan Ogy Ahmad Daud, Z900 lebih mesra punggung di permukaan tidak rata.

Oleh kerana ia sebuah naked, skrin kecil di hadapan tidak begitu efektif, terutama kepada penunggang tinggi lampai seperti model majalah GQ seperti penulis. Pada kelajuan 140 kmsj, terasa tekanan angin menekan dada dan helmet. Mungkin untuk perjalanan jauh, skrin yang lebih tinggi seperti dari Givi atau Puig boleh dipasang.

Z900 13

 

Setangki petrol (17 liter) mampu mencapai jarak perjalanan hampir kepada 300 km, tetapi ia bergantung kepada berat penunggang, cuaca (angin) dan cara penunggangan (lebih perlahan, lebih jauh).

Untuk varian Z900 Special Edition, ada pelbagai aksesori yang sudah tersedia, seperti pelindung enjin sisi, pelindung radiator, penutup pelana belakang (menjadikan ia sebuah single seater) dan pelbagai lagi. Harga pula ialah RM49,158, termasuk GST untuk varian standard dan RM50,959, termasuk GST untuk Special Edition.

Z900 14

 

Bagi peminat motosikal 4-silinder, Z900 ialah antara pencabar penting di dalam segmen ini. Mungkin ia tidak "glamour" seperti jentera Itali, dan mungkin ia tidak segagah motosikal Jerman tetapi dengan skil tunggangan yang sama, jangan terkejut Z900 ini mampu meratah saingannya dengan sebelah mata tertutup dan sebelah kaki terikat.

Lebih mesra, lebih kuasa dan mampu milik. Z900 kini ialah tanda aras baharu segmen 1,000 cc naked dunia.

Z900  17

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Acara itu disempurnakan oleh Pengarah Kawasaki Johor Bahru, Qbee Ng bersama Ketua Pegawai Eksekutif…
Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…