Tunggang Uji: Bajaj Dominar 400 - tegap dan segak.

oleh HEZERI SAMSURI|
Careta terbang ke India untuk menunggang uji Bajaj Dominar 400, sebuah mesin dengan enjin silinder tunggal bersesaran 373.3 cc dan apa yang kami pelajari ialah, ini mungkin nafas baharu untuk Modenas kita yang baru hendak merangkak keluar dari koma.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lawatan Careta ke India baru-baru ini turut meliputi aktiviti tunggang uji motosikal Bajaj Dominar 400, model global terbaharu untuk jenama India itu.

Model-model Pulsar RS200 dan NS200 sebelum ini membuka mata pasaran dunia, terutama di negara Amerika Latin dan di Asia akan jentera Bajaj.

Ia terbukti lasak dan mempunyai prestasi yang boleh diterima. Secara am, produk Bajaj lebih baik dari produk-produk yang diambil dari China.

Untuk meneruskan dominasi pasaran global mereka, Bajaj terus menghasilkan Dominar 400, motosikal naked dengan enjin silinder tunggal yang dibina hasil dari pengalaman Bajaj menghasilkan model KTm 390.

Apa yang kami pelajari ialah motosikal Dominar 400 atau D400 ini ialah ia menggunakan kerangka perimeter ala Deltabox dengan monoshock dan lengan ayun aloi di belakang.

Lampu hadapan jenis LED dalam perumah konsep street fighter. Panel meter dibahagi dua - satu pada tempat biasa dan menggunakan LCD hitam putih sepenuhnya dan ada segugus lampu-lampu amaran pada atas tangki.

Lampu belakang tersorok di bahagian bawah ekor: dua baris LED menegak ala Ducati Diavel.

Saiznya lebih kepada sebuah motosikal 650 cc (2,156 mm panjang, 813 mm lebar dan 1,112 mm tinggi sementara jarak roda ialah 1,453 mm) dan ia panjang. Penulis yang setinggi 6 kaki dan berbadan “sasa” ini tidak nampak janggal di atasnya.

Kedudukan menunggang selesa, pelana cuma setinggi lebih kurang antara 760 mm hingga 800 mm (tiada spesifikasi lengkap diberikan) dengan hendal yang tinggi dan tidak perlu membongkok untuk mencapainya.

Tempat kaki juga tidak begitu ekstrem ke belakang, membolehkan tunggangan jauh dilakukan dengan selesa (rasanyalah).

Enjin bersaiz 373.3 cc dengan silinder tunggal ini dibina sendiri oleh Bajaj, hasil pengalaman mereka membina enjin KTM 390.

Khabarnya, cuma blok seakan sama tetapi kepala blok dan selainnya adalah dari rekaan Bajaj. 

Seperti enjin Pulsar, ia menggunakan teknologi tiga palam pencucuh (Spark Plug). Satu untuk kelajuan biasa (cruising), satu untuk ekonomi dan satu untuk prestasi, terang seorang jurutera Bajaj yang kami temui.

Tenaga yang dibekalkan oleh enjin dari Pune, India itu ialah setinggi 35 PS pada 8,000 rpm dan 35 Nm pada 6,500 rpm, memadai untuk sebuah enjin begitu.

Transmisi ialah dari jenis 6-kelajuan dan operasinya adalah seperti transmisi biasa, cuma ia lengkap dengan slipper clutch. Ini penting untuk motosikal dengan tork yang tinggi, terutama dalam keadaan permukaan jalan yang licin. Walaupun penunggang berpengalaman akan berkata ia tidak perlu, tetapi dengan adanya slipper clutch, hati akan merasa sedikit tenteram.

Dengan berat 182 kg, motosikal Dominar ini terasa sajak bila didirikan. 

Penulis tidak berpeluang untuk menunggang di litar ujian Bajaj kerana terlupa untuk membawa kelengkapan menunggang (ya, maafkan kami, penulis sudah mula nyanyuk) tetapi kami diberikan peluang untuk menunggangnya di kawasan jalanraya di sebuah resort golf.

Bunyi ekzos adalah senyap dan seperti apa yang anda jangka datang dari sebuah enjin silinder tunggal dengan kapasiti itu. Untuk bunyi garang, muffler memang perlu ditukar.

Tarikan pada gear pertama memang cepat dan pendek, bermakna ia cepat mahu bertukar ke gear kedua dan seterusnya.

Tukaran gear lembut tetapi telus, sementara operasi pendikit juga tidak ada “freeplay” atau kelembatan. Bajaj ini tidak ada rasa “murah” dan jika ditutup mata, kami pasti ramai tidak akan percaya ia bukan sebuah motosikal dari India.

Dari segi brek, prestasinya boleh dikirakan memadai. Brek dari ByBre (anak syarikat Brembo yang bertapak di India) cukup untuk memperlahankan motosikal itu tetapi tidak memberikan feedback yang cukup. Mungkin kerana brek masih baharu dan belum di bed-in lagi.

Sistem gantungan juga mampu menampung penunggang seberat penulis (100 kg). Tidak ada terasa kerangka meliuk atau lengan ayun belakang membuai bila selekoh diambil dengan agresif.

Cuma tayar-tayar India buatan MRF (Madras Rubber Factory) itu tidak begitu kenyal dan enggan memberikan sebarang maklumat. Rasanya, ini ialah tayar yang direka untuk memberikan lebih kilometer, bukan untuk memberi feedback kepada penunggang.

Brek juga lengkap dengan ABS, depan dan belakang dan ini sangat positif. Semua motosikal sebenarnya perlu ABS!

Secara umum, Dominar 400 ini ialah motosikal yang sesuai untuk anda buat tunggangan harian untuk ke tempat kerja dan balik.

Letakan satu kotak Givi di belakang dan ia boleh berkhidmat untuk anda tunggang setiap hari dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Untuk beriadah di hujung minggi, sedikit modifikasi perlu dilakukan. Kelajuan Dominar memang tidak begitu tinggi - dalam 150 kmsj kami kira boleh dicapai tetapi perlu diingatkan, Dominar direka untuk negara seperti India dan Amerika Latin di mana kelajuan tidak penting - yang penting ialah kelasakan dan penjimatan bahan api.

Dengan menggunakan tiket Modenas untuk masuk ke Malaysia, Careta menjangkakan ia boleh dijual pada sekitar harga RM16,00 hingga RM18,000.

Motosikal genre 400 tidak begitu popular di Malaysia kerana tidak ada banyak pemainnya, kecuali KTM Duke 390 dan beberapa jenis skuter.

Mungkin jika harganya menarik, Dominar 400 boleh menjadi motosikal lazim bukan setakat di Malaysia tetapi di Indonesia dan juga di Thailand.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Ketua Polis Trafik Tol Bitung, Asisten Komisioner Polis Andy Pradana, sejurus menerima…
Berita Global
Tidak seperti operasi mereka di Thailand di mana hanya pemasangan sahaja dilakukan, Harley berminat…
Berita Global
Menurut perjanjian tersebut, Bajaj akan mengambil alih hak pengedaran motosikal Triumph di India…