Tunggakan Saman Trafik Cecah RM6.6 Bilion, Diskaun Sehingga 70% Diumumkan – Saifuddin Nasution

oleh Qalif Latif|
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa jumlah tunggakan saman trafik yang terkumpul di seluruh negara kini mencecah RM6.6 bilion, melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berikutan itu, kerajaan mengumumkan tawaran diskaun saman trafik sehingga 70% bermula 1 November hingga 30 Disember 2025, menjadikannya tawaran diskaun tertinggi dalam sejarah PDRM.

Saifuddin Nasution

Diskaun Tertinggi Pernah Diperkenal

Menurut Saifuddin, sebelum ini kadar diskaun saman trafik yang pernah ditawarkan oleh PDRM hanya berada dalam lingkungan 30% hingga 60% sahaja. Katanya, langkah kali ini merupakan pendekatan luar biasa kerajaan bagi memberi peluang kepada orang ramai melunaskan tunggakan lama sebelum kadar baharu dikuatkuasakan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kempen diskaun yang diadakan sebelum ini berjaya mengutip hasil mencecah RM640 juta, menunjukkan sambutan luar biasa daripada orang ramai untuk menyelesaikan saman mereka.

Penyelarasan Kadar Kompaun JPJ dan PDRM Mulai 1 Januari 2026

Mulai 1 Januari 2026, kadar saman antara JPJ dan PDRM akan diselaraskan sepenuhnya di bawah prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay”, yang menetapkan kadar kompaun lebih rendah bagi pembayaran awal. Pendekatan ini bertujuan mewujudkan keadilan kepada pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan membayar saman tepat pada masanya.

Kempen Kesedaran Jalan Raya Diteruskan

Saifuddin turut menegaskan bahawa kerajaan, melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan, akan meneruskan kempen keselamatan serta kesedaran jalan raya bagi mendidik pengguna tentang kepentingan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang.

Beliau menyeru orang ramai agar mengambil peluang keemasan ini untuk menjelaskan semua saman tertunggak sebelum 30 Disember 2025, sekaligus membantu kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih selamat dan berdisiplin di Malaysia.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah penyelarasan had…
Berita Domestik
  "Kadar Khas Bayaran Saman PDRM. Tinggal satu hari sahaja lagi. Jom bayar segera!," katanya…
Berita Domestik
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna berkata…