Menurutnya, hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook berkenaan mendakwa terdapat sebuah pesawat tersadai di tepi Sungai Klang di kawasan Sungai Kandis.
"Pengadu memaklumkan terdapat hantaran dalam akaun Facebook yang menyatakan ‘Apalah kapal terbang tu buat dekat tepi Sungai Klang di Sungai Kandis??’.
"Susulan itu, pihak polis menjalankan usaha mengesan dan menjejaki pesawat yang dimaksudkan berdasarkan lokasi yang dinyatakan dalam hantaran terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan pada koordinat yang dikongsikan dalam hantaran itu mendapati tiada sebarang pesawat tersadai seperti yang didakwa.
"Pencarian yang dijalankan di lokasi berkenaan mendapati dakwaan dibuat pemilik akaun Facebook tersebut adalah tidak benar.
"Kenyataan atau dakwaan yang dibuat berhubung kewujudan sebuah kapal terbang tersadai di kawasan itu adalah palsu," katanya.
Sehubungan itu, Ramsay menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang memaparkan imej dipercayai sebuah kapal terbang didakwa tersadai di tepi Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam.