Tular hentikan kenderaan di tengah jalan, pemandu EXCO Johor diberi amaran

oleh Penyumbang Rencana|
foto dari video viral
Pemandu kepada seorang EXCO kerajaan negeri yang menghentikan kenderaan di tengah jalan untuk menegur seorang pemandu lain yang rakaman video mengenainya tular di media sosial, telah diberikan amaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, berkata amaran dikeluarkan pihak pentadbiran kerajaan negeri dan memaklumkan ketika kejadian itu, beliau tiada dalam kenderaan terbabit.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

"Kejadian itu sudah lama, bukan baru-baru ini, cuma baru beberapa hari ini, ia tular di media sosial. Pemandu mengaku perbuatannya menghentikan kenderaan lain kerana pemandu kenderaan itu memandu secara berbahaya.

"Menurutnya, tindakannya untuk memberikan nasihat kepada pemandu kenderaan terbabit, mungkin cara dan nada suaranya agak kurang sesuai. Dia telah diberikan amaran oleh pengurusan kerajaan negeri.

"Dia juga telah diminta untuk memberikan kerjasama sekiranya terdapat laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Ting Han mewakili pemandu kenderaan rasminya itu, turut meminta maaf sekiranya kejadian terbabit menyebabkan perselisihan faham antara mana-mana pihak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

"Hasil semakan mendapati tiada laporan polis dibuat berkait insiden itu di kawasan IPD JBS. Hasil pengamatan kasar ke atas video tular di Tiktok, mendapati kejadian mungkin pada 12 Disember tahun lalu, sekitar jam 8:33 malam," katanya.

Terdahulu, rakaman video tular berdurasi satu minit 28 saat memaparkan pemandu berkenaan menghentikan sebuah kenderaan lain yang dipercayai dipandu secara berbahaya di sekitar bandar raya ini.

Lelaki itu kemudian dilihat keluar dari kenderaan dan menegur pemandu kenderaan yang dihentikannya dengan nada yang kedengaran agak kasar.

Video tular tersebut di pautan ini https://www.tiktok.com/@bharianmy/video/7406564327630589191

- Syukur pemandu kamera papan permuka sabar orangnya, bayangkan kalau 'buku bertemu ruas', pasti parah bergusti di jalan raya -

Video tersebut turut dikirim ke Careta melalui emel oleh pengadu.

Berita Harian