Tujuh 'Superman' kempunan makan ikan baung

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan dari PDRM
Sekumpulan lelaki kempunan mahu menikmati ikan baung di sebuah restoran di Ajil di sini, semalam selepas ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi 'superman'.


Tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 27 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu ditahan jam 12.19 tengah hari di Kilometer (KM) 30 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhadapan sebuah stesen minyak di Ajil.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Skuad 42 JSPT yang melakukan pemantauan menerusi Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di daerah Hulu Terengganu.

 

Beliau berkata, anggota yang melakukan pemantauan terserempak sembilan motosikal di KM 410 hingga 416 LPT 2 dari arah Ajil ke Telemong, jam 12.15 tengah hari.

Katanya, tujuh daripada penunggang motosikal itu didapati melakukan aksi merbahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter motosikal serta meniarap di atas tempat duduk motosikal sambil melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang secara berulang kali sejauh enam kilometer.

 

"Skuad 42 JSPT bertindak mengekori kumpulan motosikal berkenaan dan menahan mereka ketika berhenti di KM 30, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi.

 

"Tujuh penunggang yang sebelum ini membuat aksi berbahaya itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

 

smail berkata, siasatan mendapati mereka datang ke negeri ini untuk menikmati masakan ikan baung di sebuah restoran di Kampung Kolam, Ajil, Hulu Terengganu.

 

Katanya, kumpulan berkenaan dikatakan bertolak dari Kota Bharu, Kelantan jam 9.30 pagi dan tiba di daerah Hulu Terengganu kira-kira tiga jam kemudian.

 

"Dalam operasi ini, sebanyak 23 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan manakala dua motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 akta sama," katanya.

 

Menurut Ismail, operasi berterusan akan dijalankan bagi membendung kegiatan tidak sihat daripada terus berleluasa di negeri ini.

 

"Kita pandang serius kegiatan sebegini kerana tindakan mereka bukan hanya membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna jalan yang lain," katanya.

 

 

 

Harian Metro