Tujuh sebab kenapa Hilux jadi Raja Pikap dunia

oleh HEZERI SAMSURI|
AION MREC Banner Campaign May 2024

Trak pikap adalah satu genre yang mengalami perubahan pesat dalam tempoh 15 tahun ini.

Asalnya, ia merupakan sebuah kenderaan perdagangan, yang digunakan oleh industri yang memerlukan sebuah kenderaan lasak yang kecil untuk mengangkat barang.

Kemudian ia digunakan untuk membawa pekerja, maka timbullah varian double-cab dengan empat pintu dan tempat barang dipendekkan.

Kemudian Ford hadir dengan model Courier, dan mereka mencuba untuk membawa budaya berpikap dari US ke Asia.

Varian pikap yang lebih urban diperkenalkan untuk model Courier, dan ia berlanjutan ke model Ranger. Pada masa yang sama, Mitsubishi juga memperkenalkan model Storm dengan varian urban mereka.

Urban di sini bermaksud pikap tersebut dilengkapi dengan sticker atau pelekat yang menarik, nama varian yang canggih dan pelbagai aksesori yang lebih mewah.

Antara kelengkapan urban yang diperkenalkan dahulu ialah tempat duduk balutan kulit, pemain CD, lampu kabus tambahan, besi-besi yang nampak seperti pemiliknya bakal turun ke hutan Kalimantan untuk ekspedisi terhebat kurun itu walaupun sebenarnya beliau mahu ke Wakaf Che Yeh membeli jersi tiruan untuk dihantar ke pembeli di Petaling Jaya.

Namun sejak hari itu, kegunaan pikap sebagai kenderaan gaya-hidup (lifestyle vehicle) semakin menular. Ramai yang tidak mahu membeli kereta tetapi memilih trak pikap kerana mahu gaya hidup begitu. 

Walaupun tiada langsung di antara pemilik trak pikap ini berangan hendak menjadi Marlboro Man dengan memakai Stetson (topi koboi) dan but koboi setiap hari, kebanyakan dari mereka memang suka beriadah di kawasan alam semulajadi seperti berkhemah di kawasan sungai dan sebagainya.

Melihat kepada perkembangan pasaran baharu ini, syarikat kenderaan mula menjadikan trak pikap itu lebih cenderung sebagai sebuah SUV atau keadaan utiliti yang sporti dan mewah.

Kita sekarang ada pikap-pikap yang memang direka dari awal untuk menjadi lebih bersifat urban. Contoh terbaik ialah Ford Ranger yang sejak awal direka dengan ciri-ciri SUV - dari segi keselesaan kabin, kadar senyap dan sistem gantungan yang memang langsung tidak seperti trak pikap. Ini memudahkan mereka yang biasa dengan kereta untuk terus menyesuaikan diri dengan pemanduan trak.

Namun begitu, walaupun Ranger, dan kemudian Nissan Navara, Mazda BT50 dan Mitsubishi Triton juga cuba untuk menjadi lebih urban, semuanya masih tidak lagi dapat mencabar kehebatan raja pikap dunia - Toyota Hilux.

Hilux, yang bermaksud High (tinggi) dan Luxury (mewah), menjadi trak pikap paling popular dan paling digemari di serata dunia (kecuali di US di mana di sana, mereka gemarkan trak yang sebesar bas sekolah dan berenjin petrol).

Di Malaysia, golongan berusia atau dari kawasan luar bandar menggunakan nama Hilux untuk meurujuk kepada genre trak pikap.

 

hilux jump 1

 

"Abang, abang parking Hailak abang di sana ya," ujar pengawal keselamatan di ibupejabat Perodua beberapa bulan lepas bila Pengarang Urusan Careta datang melawat memandu Ford Ranger beliau.

Hilux sudah mencapai status jenama barang isirumah - household brand di mana ia digunakan untuk merujuk kepada satu item umum. Contohnya ialah Colgate, walhal ada berpuluh jenama ubat gigi yang lain.

Begitu juga dengan Kodak, Sunquick, Milo, Paul Tan dan sebagainya. Rasanya di Malaysia, hanya Hilux merupakan satu-satunya kenderaan yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Dari segi jualan di Malaysia, Toyota Hilux mampu dijual melebihi 5,000 unit sebulan, berbanding dengan model-model lain yang berada dalam lingkungan 2,000 unit terjual dalam masa sebulan.

Baru-baru ini, Careta memandu uji sebuah Toyota Hilux 2.8L model terkini dari varian premium G. 

Tujuan kami ialah untuk mengkaji apakah yang benar-benar membuatkan Toyota Hilux itu sangat popular dan menjadi tarikan ramai.

 

1. Hilux - jenama dipercayai

hilux jump 2


Trak pikap Hilux sudah ada di dalam pasaran sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Dari model SR dahulu yang kompak kepada model terkini yang besar, Hilux memang satu nama yang sangat dikenali.

 

2. Imej lasak dan murah diselenggara

hilux jump 3


Kebanyakan pengguna Hilux masih terdiri dari mereka yang benar-benar menggunakan trak pikap untuk kerja harian mereka.
Mereka percaya bahawa Hilux adalah model yang lasak dan murah serta mudah untuk diselenggara. 
Berbanding dengan jenama lain, ini ada benarnya. Oleh kerana jumlah Hilux terjual di seluruh dunia dan sistem alatganti Toyota yang memudahkan stok ada di mana-mana di dunia, Hilux memang mudah diselenggara.

 

3. Pengguna Hilux memang percayakan Toyota

hilux jump 4


Kebanyakan pemilik Hilux yang memang menggunakan Hilux sebagai trak kerja harian memang sukar untuk bertukar ke jenama lain kerana pengalaman mereka sendiri akan akan sifat lasak Hilux itu serta servis yang mudah. 
Toyota juga hanya akan menggunakan teknologi yang terbukti lasak dan tahan lama untuk produk mereka.
Kerana itu, ada banyak item yang bukan penting pada Hilux ini sebenarnya masih menggunakan teknologi sebelum ini kerana ia memang tidak pernah memberikan masalah.
Kerana itu, ramai pemilik Hilux akan membeli Hilux lagi sebagai ganti.

 

4. Hilux masih direka untuk kegunaan lasak

hilux jump 5


Sistem gantungan trak pikap Hilux bukanlah yang paling selesa di dalam pasaran.
Terus terang dikatakan, ia memang masih terasa seperti sebuah kenderaan perdagangan walaupun papan pemuka direka agar nampak lebih modern.
Hakikatnya, papan pemuka itu masih menggunakan plastik keras, kebanyakan panel di dalam kabin lebih menggunakan plastik kukuh agar tahan lasak, pemain audio nampak canggih tetapi masih menggunakan konsep double DIN dan bukan konsep built-in dan sistem gantungan masih ditala untuk mengangkut beban.
Sekiranya ada yang berkata Hilux ini selesa, ia adalah kerana sebab-sebab di bawah:

  • Mereka demam
  • Mereka hanya duduk di hadapan
  • Mereka hanya pernah memandu trektor sebelum ini

Hilux memang mempunyai pemanduan yang melantun di sebelah belakang kerana ia direka untuk membawa beban (walaupun begitu, Hilux model terbaharu jauh lebih selesa dari model sebelumnya).
Namun begitu, kerana ia sebuah Hilux, ada beribu-ribu aksesori yang boleh dipasang pada sistem gantungan belakang untuk memastikan pemanduan menjadi lebih selesa kepada penumpang di belakang.
Bagi pemilik urban Hilux yang hanya mengangkut keluarga dan mungkin dua kampit beras sebulan, mereka selalunya akan melakukan modifikasi pada sistem gantungan belakang agar ia lebih selesa di jalanraya.

 

5. Hilux baharu memang ada ciri-ciri urban.

hilux jump 6


Beberapa penambah-baikan telah dilakukan kepada Hilux model terkini ini agar ia lebih kompetitif.
Contohnya, ruang kabin jauh lebih luas. Model sebelumnya mempunyai tempat duduk belakang yang sempit dan menegak dan sangat sesuai untuk digunakan oleh mereka yang dibenci oleh pemandu Hilux.
Model terbaharu ini jauh lebih besar dan selesa dan ada ruang untuk penumpang yag tinggi lampai.
Ia juga mempunyai banyak aksesori khusus untuk urban seperti pengecaj USB, tempat letak barangan dan botol air yang lebih banyak serta rekabentuk dalam dan luar yang jauh lebih menarik, walaupun bahagian depan kelihatan seperti kepala ikan jerung.
Peningkatan paling besar untuk Hilux ialah ini adalah model Hilux paling senyap pernah kami pandu uji selama hidup kami.

 

6. Peminat Hilux adalah pengikut trend

hilux jump 7


Mungkin anda tidak perasan tetapi di Malaysia, pembeli sangat suka mengikut trend semasa.
Fenomena ini boleh dibuktikan dengan penguasaan beberapa jenis kenderaan di dalam pelbagai segmen - Perodua Myvi, Perodua Axia, Honda City dan sememangnya, Hilux.
Apapun, Hilux beruntung kerana fenomena ini membantu mereka.

 

7. Jutaan aksesori dan alatganti

hilux jump 8


Ini sangat berkaitan dengan alasan sebelum ini.
Walaupun pemiliknya mungkin sukakan adat berboria, namun mereka mahukan sedikit kelainan dan kerana itu, mereka akan berkunjung ke kedai-kedai aksesori untuk "mengubah" sedikit Hilux mereka agar tidak tersalah trak bila ke ruang parkir pasar nanti.
Dari gril hadapan, ke bingkai lampu, roda aloi, sistem gantungan, lampu kabus LED, ekzos dan beratus ribu aksesori lain boleh dipasang pada Hilux ini.
Turut menambahkan keistimewaan Hilux ialah pemilik boleh memilih untuk membeli aksesori atau alatganti dari harga yang murah atau yang mahal kerana ada pelbagai pilihan.
 

hilux jump 9

Pilihan utama mereka yang menggunakan pikap sebagai kenderaan perniagaan, dan pilihan popular di kalangan mereka yang kaki off-road, tidak menghairankan mengapa Hilux ini menjadi ikutan dan pilihan ramai di seluruh dunia.

Oleh kerana kepelbagaian aksesori yang wujud, Hilux juga boleh menjadi apa yang anda perlukan.