Tujuh model edisi khas Honda untuk direbut sempena '1 Million Dreams Campaign'

oleh Mohamad Hanif|
Honda Malaysia ingin mengajak rakyat Malaysia untuk meraikan sambutan mencapai satu juta unit jualan dengan pelancaran kempen '1 Million Dreams Campaign'.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kempen yang bermula dari 25 Februari sehingga 24 Mac 2021 ini bertujuan untuk menunjukkan penghargaan Honda Malaysia terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh para pelanggannya, menawarkan tujuh model edisi khas iaitu Jazz, City baharu, BR-V, HR-V, Civic, CR-V baharu, dan Accord.

Pada tahun 2019, Honda Malaysia telah meraikan unit yang ke-900,000 rekod penjualan di Malaysia, dan dalam masa dua tahun mereka berjaya meraih satu lagi pencapaian yang cukup bermakna dengan menghampiri angka jualan 1 juta unit.

 


Bersempena dengan pencapaian yang bermakna ini, Honda Malaysia ingin memberikan sehingga tujuh model edisi khas yang didatangkan dengan ciri-ciri yang unik, seperti layangan warna dua tona, kemasan merah pada bahagian hadapan, perumah cermin sisi dan rim, dan emblem 1 Million Dreams Signature pada kedua-dua fender hadapan.

Sementara ruang dalaman pula turut menampilkan jahitan logo 1 Million Dreams, roda stereng balutan kulit dengan jahitan kontras merah dan penanda tengah, serta key pouch edisi khas daripada kulit.

Untuk memenangi salah sebuah daripada tujuh model edisi khas tersebut, rakyat Malaysia hanya perlu mengambil bahagian di dalam enam aktiviti yang disediakanoleh Honda Malaysia, dan mereka boleh menghantar seberapa banyak penyertaan kepada para pengedar Honda atau menerusi laman web rasmi Honda Malaysia.

 


Setiap penyertaan akan dikira menerusi aktiviti yang dijalankan seperti memuat turun dan mendaftarkan diri di dalam aplikasi HondaTouch, bermain permainan 1 Milion Dreams Quiz Game di laman web rasmi Honda (www.honda.com.my), memandu uji mana-mana kereta Honda, menempah sebuah kereta Honda baharu, mendaftarkan sebuah kereta Honda baharu, atau menghantar kereta Honda untuk diservis atau dibaiki.

Lebih banyak penyertaan yang diterima, lebih tinggi peluang untuk mendapatkan kereta-kereta edisi khas tersebut.

Honda Malaysia akan mengumumkan senarai pemenang bertuah di acara Grand Finale yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2021.

Untuk maklumat lanjut,sila layari laman web rasmi kempen di www.honda.com.my/1milliondreams/entry atau berkunjung ke mana-mana cawangan pengedaar sah Honda di seluruh negara.